KANAK-kanak bermain di kawasan sawah padi yang kering akibat fenomena El Nino ketika tinjauan di Kampung Tengah, Tualang, hari ini. FOTO Bernama
KANAK-kanak bermain di kawasan sawah padi yang kering akibat fenomena El Nino ketika tinjauan di Kampung Tengah, Tualang, hari ini. FOTO Bernama
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kerajaan akan mengisytihar 'kecemasan gelombang haba' jika sesebuah kawasan mengalami suhu 40 darjah celsius selama atau lebih tujuh hari dalam tempoh cuaca panas dan kering berpanjangan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara berkenaan adalah berdasarkan pelan tindakan bagi menangani gelombang haba dan ia berkuat kuasa serta merta.

Menurutnya, pelan tindakan itu turut merangkumi penangguhan sesi persekolahan iaitu apabila suhu melebihi 37 darjah celsius selama lebih 72 jam dan peningkatan suhu berterusan menerusi amaran kedua.

"Bagi amaran pertama, suhu melebihi 37 darjah celsius selama 72 jam dan tindakan diambil ialah memantau bacaan suhu dari semasa ke semasa, mengeluarkan amaran gelombang haba melalui kenyataan media, menangguhkan aktiviti luar sekolah manakala aktiviti sukan dan latihan atlet adalah di kawasan tertutup.

"Selain itu, nasihat turut dikeluarkan kepada orang awam bagi menghadkan aktiviti luar dan seboleh-bolehnya berada dalam rumah atau bangunan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Kabinet hari ini turut bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 5:30 PM