TANAMAN herba bukan saja boleh ditanam di luar rumah, malah di dalam kediaman terutama di bahagian dapur.
BELALAI gajah.
BANGUN-BANGUN.
KEMANGI.
DAUN pandan.
PECAH kaca.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Tanaman herba bukan saja mewujudkan suasana landskap menghijau di dalam atau luar rumah, malah turut memberi pelbagai manfaat lain.

Ia boleh dimakan sama ada dijadikan ulam atau digunakan dalam masakan, mahupun sebagai perubatan tradisional.

Bagi yang tidak mempunyai ruang landskap di luar rumah, pokok herba juga boleh ditanam di dalam pasu dan diletakkan di dalam rumah.

Ia juga sesuai disusun di bahagian dapur, tidak memerlukan ruang yang besar dan mudah dijaga.

Pengarah Urusan dan Pakar Landskap Enrich Focus Sdn Bhd Maznah Ariffin berkata, ada pelbagai jenis tanaman herba yang boleh ditanam dan memberi banyak manfaat.

“Selain pokok hiasan, banyak jenis pokok herba boleh ditanam kerana penjagaannya tidak sukar.

“Lebih menarik, pokok herba ada banyak kebaikan kerana boleh dimakan dan dijadikan sebagai ubat, jadi ia mempunyai kebaikan berganda berbanding menanam pokok hiasan,” katanya.

Katanya, antara pokok herba yang mudah didapati, boleh dimakan serta boleh dijadikan ubatan tradisional ialah pokok belalai gajah, kemangi, pecah kaca, bangun-bangun dan daun pandan.

Berikut antara kebaikan pokok herba berkenaan.

1. Belalai gajah

Belalai gajah sangat popular di Asia kerana mempunyai banyak manfaat. Ia dikatakan mempunyai 1,001 kebaikan, antaranya dapat menurunkan kadar gula dalam darah serta mengatasi masalah kulit seperti kemerahan, gatal-gatal dan radang.

Ia juga dipercayai dapat membantu mereka yang mengalami gastrik, melegakan senak perut, sakit belakang dan asma).

2. Kemangi

Pokok daripada keluarga pokok selasih ini sangat popular di India. Ia menawarkan pelbagai khasiat seperti ekstraknya agen antioksida semula jadi yang mampu mencegah penuaan.

Pokok kemangi juga digunakan sebagai ubat tradisional untuk menggantikan ‘pain killer’ kerana dapat mengurangkan bengkak dan rasa sakit. Ia turut ditanam di keliling rumah kerana dipercayai mampu menghalau nyamuk.

3. Pecah kaca

Pokok ini terkenal di Asia Tenggara. Dalam perubatan tradisional, ia digunakan untuk menyembuhkan penyakit seperti kencing manis, batu karang dan kanser.

Pokok ini mempunyai kalsium karbonat yang tinggi, jadi ia dapat melawaskan pembuangan air kecil.

Bagi merawat masalah kencing, makan daunnya mentah-mentah, namun bagi masalah kencing manis dan batu karang daunnya perlu direbus terlebih dulu sehingga mendidih sebelum minum airnya.

4. Daun pandan

Penggunaan daun pandan sangat meluas. Ia umpama vanila bagi penduduk Asia Tenggara kerana digunakan dalam hampir setiap masakan, malah turut dijadikan pewangi rumah.

Daunnya bukan saja mampu memberi aroma kepada nasi, kuih-muih dan minuman, malah digunakan sebagai pembungkus untuk masakan ikan, ayam dan pulut.

Dalam perubatan, ia digunakan untuk membantu mengatasi masalah angin dan pencernaan serta merawat masalah kelemumur dan melebatkan rambut.

5. Bangun-bangun

Tumbuhan berasal dari India ini terkenal dalam perubatan tradisional Melayu dan Cina. Ia digunakan bagi merawat masalah seperti batuk, mual serta sakit kepala.

Ia juga boleh dijadikan penawar kepada masalah asma dan bronkitis. Bagi yang tidak mempunyai penyakit, pokok bangun-bangun boleh dijadikan ulam dan menjadi petua awet muda. Ia juga dikatakan mampu melancarkan pengaliran darah dan memperbaiki tekstur kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:19 AM