Anggota bomba membawa mayat mangsa. FOTO ihsan bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Rembau: Seorang lelaki berusia 54 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung ketika mendaki di Gunung Datuk, di sini, petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Rembau, Mohd Fuad Majid berkata, mangsa, Chung Kwok Kwong sebelum itu memulakan pendakian bersama 17 rakan pada jam 9 pagi.

Katanya, sewaktu pendakian mencecah 800 meter, lelaki itu sesak nafas menyebabkan panggilan kecemasan dibuat pendaki lain jam 11.12 pagi.

Menurutnya, lapan anggota bomba, tujuh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), tiga renjer hutan, tiga kakitangan hospital dan dua anggota polis bergegas ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba jam 11.35 pagi, pihaknya memulakan pendakian bagi membawa mangsa turun ke bawah.

"Hanya 200 meter untuk tiba di kaki bukit, lelaki itu meninggal dunia jam 1.05 petang," katanya.

Beliau berkata, mayat diserah kepada pihak ambulans dan dibawa ke Hospital Tampin, dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 2:43 PM