PENYERANG Arsenal Olivier Giroud (dua dari kanan) dihalang penjaga gol Everton Robles.
Agensi

Liverpool, England: Dua jaringan babak pertama Danny Welbeck dan Alex Iwobi memberikan kemenangan pertama buat Arsenal daripada empat perlawanan liga selepas mengatasi Everton 2-0 untuk menghidupkan kembali harapan memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris di Goodison Park malam tadi.

Percubaan pertama Welbeck terkena palang sebelum menerima hantaran Alexis Sanchez yang memperdayakan pertahanan lawan membolehkannya merembat melepasi penjaga gol lawan Joel Robles seawal minit ketujuh.

Arsenal yang memulakan aksi itu dengan 11 mata ketinggalan berbanding Leicester City dengan kelebihan satu perlawanan, mempamerkan serangan bertenaga dan menggandakan jaringan pada minit ke-42 apabila Iwobi, dalam penampilan sulungnya di liga itu, mara melepasi Robles dengan penyudah hebat.

Everton yang layak ke separuh akhir Piala FA bergelut mencipta peluang dan mungkin tewas dengan lebih banyak jaringan ketika berdepan Arsenal yang kekal di tangga ketiga liga.

Mereka hampir merapatkan jurang menerusi tandukan Phil Jagielka dan rembatan Tom Cleverley yang berjaya dihadang Gabriel.

Arsenal bangkit daripada tersingkir dalam dua pertandingan sebelum ini untuk terus menghidupkan peluang mereka musim ini.

Ia satu kemenangan selesa apabila peluangnya untuk memenangi trofi musim ini terkubur apabila tewas kepada Watford dalam Piala FA dan Barcelona bagi Liga Juara-Juara. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:04 AM