COBELLI (kiri) meraikan gol bersama rakan ketika menentang Sime Darby.
COBELLI (kiri) meraikan gol bersama rakan ketika menentang Sime Darby.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: PKNS membawa bekalan selesa apabila menang besar 4-0 ke atas Sime Darby pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Pasukan bimbingan E Elavarasan itu berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan menguasai hampir keseluruhan perlawanan seterusnya memperoleh jaringan melalui Matias Jadue pada minit ke-18, Juan Manuel Cobelli (m-54 dan m-78) serta Nazrin Syamsulbahari (m-83).

Bagaimanapun, tuan rumah terlebih dulu menghadirkan gerun pada awal babak pertama apabila pemain import, Matteo Roskam mendapat peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-12 selepas menerima hantaran silang Syed Sobri Syed Mohd namun tandukannya tersasar keluar.

Enam minit kemudian PKNS berada di depan selepas Jadue membuat gerakan solo dari sebelah kiri sebelum membawa bola masuk ke dalam petak penalti dan tidak melepaskan peluang merembat masuk dari jarak dekat.

Sebaik babak kedua bermula Sime Darby terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Roskam menerima kad kuning kedua pada minit ke-52 selepas mengasari Gonzalo Soto.

Pelawat bijak menghukum kelemahan Sime Darby apabila menambah gol kedua pada minit ke-54 apabila hantaran lintang Nazrin dari sebelah kiri berjaya ditanduk masuk Cobelli dan pemain import dari Argentina itu menambah gol kedua peribadi 12 minit sebelum tamat.

Nazrin terus menghukum kelalaian tuan rumah apabila menambah gol keempat pada minit ke-83 selepas melakukan rembatan kencang dari dalam kotak penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:11 AM