KAPTEN The Cops, Faizal Muhamad (kiri) mengasak pemain Johor DT.
Nazri Abu Bakar


Melaka: “Inilah lumrah bola sepak dengan keputusan pengadil muktamad,” kata jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Fauzi Pilus selepas akur sepakan penalti Juan Martin Lucero pada babak pertama menyebabkan skuadnya tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Hang Jebat, malam kelmarin.

Beliau juga akur selepas import dari Singapura Safuwan Baharudin yang dijatuhkan benteng lawan empat minit sebelum tamat tidak dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Zahri Tajuddin walaupun ia jelas dilihat pada pemerhatiannya.

Menurut Fauzi, jika penalti dihadiahkan kepada pasukannya sudah pasti aksi perlawanan lebih sengit selain percubaan berbahaya Ali Ashfaq pada mini ke-89, namun berjaya diselamatkan penjaga gol Farizal Marlias.

Beliau berkata, pada aksi Liga Super di gelanggang sama minggu lalu, Johor DT turut memperoleh jaringan penalti untuk gol pertama mereka sebagai faktor utama anak buahnya ditekan hebat lawan hingga tewas 0-2.

Baginya, nasib pasukan tidak menyebelahi skuadnya dalam dua perlawanan itu, penalti menjadi medium kejayaan pelawat di gelanggang sama.

“Saya terima situasi itu sambil mengharapkan pemain mampu melakukan sesuatu di Larkin. Tidak mustahil kejayaan mampu dilakar walaupun menempuh laluan sukar dan berliku.

“Malah sentuhan import Andrezinho yang tidak menyerlah menyebabkan buruan jaringan pada babak pertama gagal dihasilkan hingga saya terpaksa mengeluarkannya pada babak kedua,” katanya.

Fauzi sedia menyusun strategi lebih ampuh berdepan Johor DT di Larkin sambil menganggap kelebihan Johor DT masih boleh dimusnahkan kerana dalam bola sepak apa saja boleh berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 9:08 AM