Azmi (dua dari kiri) memeriksa perbarisan anggota bomba pada Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas. FOTO Syamsi Suhaimi
Rosliza Mohamed


Pasir Mas: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan sebanyak 143 kes kebakaran hutan dalam tempoh dua minggu sejak awal bulan ini.

Pengarah JBPM Kelantan Azmi Osman berkata, kes kebakaran hutan berlaku berikutan cuaca panas dan kecuaian manusia.

Katanya, sehubungan itu pihaknya sering menjalankan pemantauan di beberapa kawasan dikenal pasti berisiko termasuk di kawasan tanah gambut dan hutan di sekitar negeri ini supaya tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku kebakaran.

"Kita turut mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut memantau bagi mengelak pembakaran di kawasan pembuangan sampah.

"Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembakaran terbuka kerana dalam keadaan cuaca sekarang api boleh merebak dengan cepat," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas di sini, pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 11:46 AM