Roslin mengaku tak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah. FOTO Wan Asrudi Wan Hasan
Wan Asrudi Wan Hasan

Ipoh : Anggota polis mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM500 di Mahkamah Sesyen di sini, sebentar tadi.

Tertuduh, Koperal Roslin Md Esa, 52, yang bertugas di Balai Polis Tanjung Rambutan membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Indra Nehru Savandiah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan sebanyak RM400 daripada Bedah Debok sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap anaknya, Azrul Haffiz Che Azzmi yang ditahan di Balai Polis Tanjung Rambutan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bapa kepada tiga anak itu turut didakwa menerima suapan berjumlah RM100 daripada individu yang sama dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) akta sama.

Roslin didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah gerai air kelapa, Jalan Besar, Tanjung Rambutan antara 2.30 petang dan 4.30 petang pada 14 Mei 2014.

Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaludin manakala tertuduh diwakili peguam, Ranjit Singh.

Terdahulu, Nurul Wahida menawarkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 April ini.

Pix : Tertuduh dibawa ke mahkamah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 12:12 PM