Najib bersama Naib Pengerusi Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings, Tan Sri Lim Kang Hoo (kiri) melihat lakaran lukisan pembangunan Projek Bandar Malaysia pada majlis pengumuman pelaburan baru CREC. FOTO Ghazali Kori
Najib bersama Naib Pengerusi Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings, Tan Sri Lim Kang Hoo (kiri) melihat lakaran lukisan pembangunan Projek Bandar Malaysia pada majlis pengumuman pelaburan baru CREC. FOTO Ghazali Kori
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Malaysia menerima kemasukan pelaburan baru daripada rakan dagangan utamanya, China menerusi China Railway Group Limited (CREC) yang menyuntik US$2 bilion (RM8.1 bilion) bagi membangunkan pusat serantaunya di Bandar Malaysia.

Pengumuman strategik itu lanjutan selepas tiga bulan CREC bersama rakan konsortiumnya, Iskandar Waterfront Holdings (IWH) menerusi Kosortium IWH-CREC berjaya mendapatkan 60 peratus pegangan ekuiti bernilai RM7.41 bilion dari 1MDB Real Estate untuk membangunkan projek mega berkenaan.

Pengarah IWH, Izadden Daud berkata, pembangunan projek integrasi ibu pejabat CREC itu adalah petunjuk Bandar Malaysia bakal menjadi pilihan lebih banyak syarikat berstatus multinasional (MNC) dari seluruh dunia untuk beroperasi di lokasi itu pada masa depan.

"Memandangkan CREC menjadi syarikat MNC pertama yang membuka pusat serantaunya di Bandar Malaysia, saya sukacita ingin memaklumkan terdapat beberapa pemain industri global utama turut berminat untuk beroperasi di sini dan akan diumumkan pada masa terdekat.

"Bandar Malaysia yang akan dibangunkan pada masa depan terletak di lokasi strategik, jaringan, reka bentuk dan kemudahan yang terbaik berupaya menarik minat banyak syarikat global membuka syarikat operasi serantau mereka di sini," katanya berucap pada majlis pengumuman pelaburan baru CREC di sini, hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bandar Malaysia seluas sekitar 197 hektar terletak di Sungai Besi, Kuala Lumpur yang ketika ini adalah pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan projek pembangunannya adalah kerjasama awam-swasta (PPP) antara Kementerian Kewangan sebanyak 40 peratus dan selebihnya dimiliki oleh Kosortium IWH-CREC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 3:52 PM