X
PELBAGAI acara diadakan untuk setiap kelompok pelumba bagi memeriahkan acara maraton.
PELBAGAI acara diadakan untuk setiap kelompok pelumba bagi memeriahkan acara maraton.
SEMUA peserta yang menamatkan perlumbaan dalam waktu yang diperuntukkan layak mendapat pingat penyudah.
SEMUA peserta yang menamatkan perlumbaan dalam waktu yang diperuntukkan layak mendapat pingat penyudah.

Apakah yang diperlukan untuk menganjurkan antara acara larian terbesar di Malaysia yang disertai 35,200 peserta serta menawarkan hadiah wang keseluruhan RM377,397?

"Persiapan yang rapi. Ini acara larian perdana Malaysia. Tiada ruang untuk sebarang kesilapan bagi larian bertaraf antarabangsa yang menarik pelari dari seluruh dunia. Ini adalah operasi yang besar dan kompleks," kata Pengarah Dirigo Events, Rainer Biemans.

Beliau, seorang warga Switzerland adalah pemilik dan penganjur Standard Chartered KL Marathon 2014 yang memasuki edisi keenam tahun ini.

Daripada memastikan bekalan air dan pisang mencukupi untuk peserta maraton penuh sejauh 42 kilometer (km) hingga keselamatan si cilik dalam Larian Kanak-Kanak, semua terletak di bahu Biemans dan pasukannya.

"Kami memulakan persiapan sejak enam bulan lalu, tetapi promosi secara besar-besaran untuk tahun ini sudah dibuat akhir tahun lalu. Ini bagi memastikan KL Maraton 2014 tersenarai dalam kalendar larian antarabangsa," katanya.

Untuk tahun ini, seramai 5,315 peserta menyertai Maraton Penuh, 8,259 (Separuh Maraton-21km); 16,060 (Larian 10km); 5,055 (Larian Suka-Suka 5km) serta 511 (Larian Kanak-Kanak).

Buat kali kedua dalam enam tahun, KL Maraton 2014 menyajikan laluan baru. Bagi tahun ini, pelari berpeluang menguji kemahiran dan ketahanan mereka dengan berlumba di lebuh raya bertingkat dalam acara yang bakal bermula jam 4.30 pagi Ahad ini di Dataran Merdeka.

"Jika sebelum ini pelumba melewati jalan utama di tengah ibu kota, kali ini mereka akan menggunakan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang (AKLEH)," katanya.

Mengapa laluan baru?

"Pertimbangan utama kami adalah keselamatan pelari. Apabila kami memilih laluan, kami memastikan ia adalah jalan yang memberikan gangguan trafik paling minima kepada pelumba.

"Kami juga mahu memastikan pelumba berpeluang menyaksikan monumen yang menjadi kebanggaan Kuala Lumpur seperti Menara Berkembar PETRONAS, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Tugu Negara," katanya.

Beliau berkata, tahun ini perhatian khusus turut diberikan kepada Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman bagi mengelakkan pelumba kategori 42km dan 21km bertembung dengan pelari 10km dan 5km sebagaimana berlaku pada tahun sebelumnya sehingga menimbulkan rungutan.

"Tahun lalu sejumlah 33,800 peserta mengambil bahagian, tetapi tahun ini ia meningkat.

"Jadi kami berharap pengenalan laluan baru dapat menampung pertambahan bilangan pelumba yang dijangka terus meningkat pada tahun mendatang," katanya.

Biemens berkata, sejumlah 400 anggota polis trafik dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertanggungjawab menjaga keselamatan pelari sepanjang laluan perlumbaan yang perlu ditamatkan dalam tempoh enam jam bagi kategori 42km.

"Seramai 450 pegawai dan anggota perubatan serta 19 ambulans akan turut ditempatkan sepanjang laluan serta Dataran Merdeka bagi memastikan keselamatan pelari.

"Turut mengawasi peserta ialah 350 pegawai pelumbaan. Untuk kemudahan pula, sejumlah 350 tandas disediakan," katanya yang berpengalaman 19 tahun menganjurkan acara penajaaan.

Malah, penganjur turut meyediakan surau di lokasi tertentu di sepanjang laluan bagi pelumba yang mahu menunaikan solat Subuh.

Biemans berpengalaman luas dalam penganjuran acara termasuk ITU Triathlon World Cup, UEFA Euro 2008 dan Alpine Ski World Cup.

Menurutnya, bagi kemudahan pelari terutama bagi kategori 42km stesen air disediakan di lokasi permulaan dan di setiap dua kilometer selepas empat kilometer pertama serta setiap 1.6 kilometer selepas 20 kilometer pertama.

"Minuman isotonik pula disediakan bagi setiap 4 kilometer selepas empat kilometer pertama. Stesen Power Gel disediakan di kilometer 26.4 dan kilometer 32.8. Ini khusus bagi pelari maraton penuh," katanya.

Sejumlah 2,000 pelari dari 83 negara mengambil bahagian dalam KL Marathon 2014 yang memenangi Anugerah Platinum Untuk Acara di bawah Anugerah Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk Pelancongan bagi tahun ini.

Antara pelumba elit yang mengambil bahagian dalam larian kali ini termasuk Ivuti Patrick Mutuku dari Kenya; Wegayheu Girma Tefera dari Ethiopia; Samwel Kiptanui Maswai dari Kenya dan Chelimo Luka Kipkemoi dari Kenya.

KL Maraton 2014 sebelum ini lazimnya dianjurkan pada pertengahan tahun, namun bermula tahun lalu ia dipindah ke Oktober disebabkan masalah jerebu, tetapi ada pelumba khuatir berikutan sekarang musim tengkujuh.

Biemans yakin ia bukan satu masalah besar.

"Selepas ini kita akan menganjurkan KL Maraton 2014 pada minggu pertama Oktober. Tiada perubahan dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 3:24 AM