Mayat mangsa dibawa ke hospital menggunakan kenderaan polis. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin

Rawang: Lelaki maut selepas ditikam abangnya di kediamannya di Jalan Desa, Bandar Country Homes, di sini, 10 malam tadi.

Difahamkan, mangsa berusia 26 tahun bertengkar dengan abangnya sebelum ditikam menggunakan pisau.

Saksi yang enggan dikenali berkata, ibu mangsa cuba meleraikan pergaduhan tetapi gagal dan mangsa disahkan maut di tempat kejadian.

Katanya, jiran mangsa yang terdengar pertengkaran itu menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.

"Mangsa adalah pemandu lori dan ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di dalam rumah selepas polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak tiba.

"Suspek yang juga abangnya berusia 40 tahun berjaya ditangkap oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak polis," katanya ketika ditemui.

Difahamkan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Siasatan polis turut menemui pisau digunakan suspek berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 3:44 AM