ANGGOTA polis mengawal kawasan pelancongan walaupun dalam keadaan panas yang disebabkan fenomena El-Nino di Bulatan Kancil, Jalan Laksamana, Banda Hilir, Melaka. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kementerian Kesihatan menerima 35 kes masalah kesihatan berkait haba berdasarkan laporan bermula 1 Mac hingga semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 25 kes membabitkan kelesuan haba, kekejangan haba (lima kes) dan strok haba (lima kes termasuk satu kematian sebelum ini di Segamat, Johor).

Katanya, mereka terbabit turut mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan yang berdekatan.

"Cuaca panas terlampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh dan kesannya, cecair dalam tubuh akan berkurangan seterusnya individu itu mudah berasa letih dan kurang bertenaga serta lebih berisiko mengalami dehidrasi dan strok haba.

"Malah, musim kering berpanjangan boleh menyebabkan beberapa masalah seperti krisis bekalan air, cuaca panas, kebakaran hutan dan jerebu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kanak-kanak dan warga emas antara mereka yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan daripada keadaan ini.

Justeru, katanya, orang ramai diminta mengikuti nasihat Kementerian Kesihatan bagi mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 10:13 AM