PEMILIK butik pakaian Tiu Song Guan (kiri), didenda RM10,000 atas kesalahan gagal mengemukakan dokumen penjualan pakaian. FOTO Farizul Hafiz Awang
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Seorang pemilik butik pakaian didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan gagal mematuhi arahan untuk mengemukakan dokumen harga pakaian dijualnya tahun lalu.

Tertuduh, Tiu Song Guan, 21, sebelum itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh gagal menyerahkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada pekerja tertuduh di premisnya di Ten Boutique, A1GF Jalan Bukit Sekilau di sini, pada 12 Mei 2015.

Notis yang dikeluarkan Penolong Pegawal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Rozma Abd Rahman itu meminta tertuduh supaya menyerahkan maklumat berkaitan blaus wanita dijual di premis berkenaan dalam tempoh tiga hari iaitu sehingga 15 Mei 2015.

Bagaimanapun, Song Guan gagal mengemukakan dokumen mengikut tempoh ditetapkan dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 (5) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 57 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua jika disabitan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Abu Hanipah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 12:53 PM