X
Kerajaan masih berbincang dengan syarikat konsesi mengenai kenaikan tol Lebuhraya PLUS. - Foto Fail
Kerajaan masih berbincang dengan syarikat konsesi mengenai kenaikan tol Lebuhraya PLUS. - Foto Fail
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan masih belum mencapai keputusan berhubung kenaikan lima peratus kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang dijadual dilaksanakan tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu Dewan Rakyat hari ini, kerajaan masih berbincang dengan syarikat konsesi dengan mengambil kira manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Katanya manifesto BN itu menyatakan kerajaan tidak akan menaikkan kadar tol bagui lebuh raya menghubungkan antara bandar.

Bagaimanapun, mengikut perjanjian konsesi, syarikat itu boleh menaikkan kadar tol lima peratus di lebuh raya berkenaan setiap tiga tahun mulai Januari 2016 hingga 31 Disember 2038.

"Kita ingat, memang ada manifesto kerajaan BN mengenai tol antara bandar ini tidak akan dinaikkan, kita sedar perkara ini dan kita berbincang dengan syarikat konsesi," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) yang ingin tahu sama ada lebuh raya PLUS akan menaikkan kadar tol pada Jun ini seperti dilaporkan sebelum ini.

Merujuk kepada manifesto BN itu, Fadillah berkata ia hanya membabitkan dua lebuh raya iaitu Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Katanya, kedua-dua lebuh raya itu saja menghubungkan antara bandar dan negeri-negeri manakala lebuh raya lain di sekitar Lembah Klang tidak termaktub dalam manifesto berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 10:06 PM
Digital NSTP Subscribe