ABD Samad (berdiri lapan dari kiri) bergambar bersama peserta sebelum melepaskan Ekspedisi Gunung Jono di Seri Menanti.
Teks dan gambar Amran Yahya

Walaupun kurang popular, Gunung Jono yang terletak 10 kilometer dari istana lama Seri Menanti, Kuala Pilah, menjanjikan cabaran buat pendaki.

Ini dibuktikan 40 pendaki yang berpeluang me­ngikuti Ekspedisi Gunung Jono anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Kelab Kembara Penjawat Awam Negeri Sembilan dan Kelab Sukan dan Kebajikan Negeri Sembilan (PSUKNS), baru-baru ini.

Jurupandu ekspedisi Farid Mohd Shah, 34, berkata, mendaki Gunung Jono memberi peluang kepada pendaki merasai pengalaman berbeza.

“Tingginya 852 meter dari aras laut. Jarak perjalanan dari tempat permulaan mendaki ke puncak dianggarkan empat kilometer.

“Gunung ini dikelilingi beberapa bukit seperti Bukit Ulu Pilah, Bertam, Sangkar Puyuh dan Rambai,” katanya.

Ekspedisi itu turut membabitkan Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Tim Everess Seri Menanti, Belia Kuala Pilah, Maritim Putrajaya, Politeknik Kuala Terengganu, Polis Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, CIMB Bank, selain orang perseorangan dari seluruh negara yang diketuai Pengarah LMNS Shamsuddin Ahmad.

Pelepasan peserta disempurnakan Panel Penasihat Kelab Kembara Negeri Sembilan Datuk Abd Samad Ibrahim pada 9.30 pagi di Seri Menanti.

Laluan rata hanya membabitkan satu kilometer pertama sebelum menempuh ladang getah dan lalang sebelum merentasi parit.

Sebaik melepasi parit, tiada lagi laluan rata, bermulalah cabaran mendaki ke puncak Jono.

Pendaki hanya melalui trek yang kecil, curam, licin dan kerjasama dalam pasukan sangat diperlukan. Rata-rata hutan di sepanjang laluan ini masih asli dan tiada kesan penerokaan.

Terdapat sebatang sungai kecil yang mesti diharungi pendaki. Di laluan curam, mereka terpaksa menggunakan akar dan rotan untuk membantu pendakian.

Kumpulan pertama tiba ke puncak tepat jam 12 tengah hari. Selepas berehat sambil menikmati pemandangan di sekitar puncak Jono, semua peserta turun pada jam 1.15 tengah hari dan tiba di tapak pendakian dua jam kemudian.

Sementara itu, Abd Samad berharap penyertaan pelbagai pihak dapat membantu mempromosikan Gunung Jono sebagai destinasi pendakian kepada mereka yang menggemari aktiviti lasak.

“Banyak khazanah masih belum tercemar dan mampu dimajukan setanding dengan Gunung Angsi di Ulu Bendul dan Gunung Datuk, Rembau.

“Selain itu, ia dapat memberi pulangan kepada masyarakat setempat jika gunung ini popular suatu hari nanti,” katanya.

Peserta Leftenan Maritim Che Shariff Othman dari Putrajaya berkata, tidak salah memperkenalkan Gunung Jono sebagai produk pelancongan, tapi perlu dilaksanakan secara sistematik.

Ia termasuk penyediaan kemudahan asas seperti tandas awan, bilik mandi dan surau.

“Selain itu, pondok kawalan Jabatan Perhutanan juga perlu dibina bagi memantau aktiviti pendaki selain menjadi tempat pertama dikunjungi jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Hingga kini, keaslian hutan ini masih terjaga dan menjadi tanggungjawab bersama untuk menjaga keindahannya,” katanya.

Pengarah Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin berkata, Gunung Jono mempunyai sejarahnya tersendiri yang tidak diketahui umum.

“Jono berasal dari nama orang kanan Puteri Gunung Ledang iaitu Tok Jono.

“Puteri Gunung Ledang atau nama sebenarnya Siti Jamilah adalah anak Raja Demak.

“Puteri Gunung Ledang mengarahkan Tok Jono mengembangkan ilmu tasauf dan suluk di sekitar Ulu Pilah,” katanya.

Beliau berkata, Tok Jono memilih puncak gunung itu kerana sunyi dan sesuai untuk mendalami agama.

“Tok Jono sealiran dengan Tok Dioh, Tok Paroi, Tok Angsi dan Tok Moyang Salleh yang kuat agama terutama ilmu tasauf serta suluk di Seri Menanti suatu ketika dahulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 6:18 AM