Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: “Usah bermimpi melangkah ke arah profesional andai masih tidak faham aspek kepentingan kecergasan.

“Sebab itu kebanyakan pasukan hanya guna jurulatih kecergasan kelas dua yang akhirnya menyebabkan pemain cepat mengadu penat dan mudah dapat kecederaan.”

Demikian reaksi pengkritik bola sepak negara, Serbegeth Singh (gambar) yang bersetuju dengan pandangan bekas jurulatih kebangsaan, B Sathianathan supaya semua pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) mengambil jurulatih kecergasan yang benar-benar berkelayakan serta berpengalaman.

Jelas Serbegeth, alasan kepenatan dan kecederaan selepas menempuh jadual padat isu remeh yang sengaja ditimbulkan kebanyakan pasukan apabila mereka mengalami kekalahan.

“Dalam negara kita, aspek sains sukan agak ketinggalan jika dibandingkan dengan negara luar yang sudah meletakkan standard tinggi bagi pasukan bertanding dalam liga mereka terutama faktor kecergasan.

“Bilangan pakar dalam bidang kecergasan atau jurulatih kecergasan yang betul-betul terbaik agak kurang dan sebab itu tahap saingan Liga-M terlalu jauh berbeza berbanding Thailand atau Vietnam yang lebih maju.

“Bagi saya setiap pasukan wajib ada pasukan khusus dengan tidak hanya melantik seorang pakar perubatan tapi perlu ada dua atau tiga pembantu lagi seperti dipraktikkan kelab terbaik dunia,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Ujarnya, setiap pasukan tidak harus bimbang dalam melakukan pelaburan untuk mendapatkan jurulatih kecergasan terbaik kerana baginya kejayaan sesebuah pasukan bukan sekadar terletak kepada taktikal ketua jurulatih semata-mata, tetapi juga soal kesediaan mental dan fizikal pemain.

“Kalau pasukan boleh bayar gaji pemain beribu-ribu ringgit sebulan, mengapa tidak membayar gaji pakar kecergasan yang mampu memastikan prestasi pemain sentiasa berada di tahap terbaik.

“Zaman bola sepak moden sememangnya memerlukan kepakaran itu. Mereka (jurulatih kecergasan) akan menjaga aspek pemakanan, pemulihan kecederaan dan kecergasan pemain supaya sentiasa bersedia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 8:16 AM
Digital NSTP Subscribe