Penduduk serta pelancong asing cuba memberi pertolongan kepada mangsa dalam berada dalam kebiruan. FOTO IHSAN PEMBACA
Penduduk serta pelancong asing cuba memberi pertolongan kepada mangsa dalam berada dalam kebiruan. FOTO IHSAN PEMBACA
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut akibat lemas selepas terperangkap hampir sejam dalam sebuah kereta di Kampung Kelibang, di sini, petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mangsa Muhammad Asyraaf Abdullah ditemui dalam keadaan kebiruan oleh penduduk yang kebetulan melalui kawasan itu.

Beberapa penduduk termasuk pelancong asing cuba memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa namun gagal sebelum dikejarkan ke Hospital Langkawi oleh ambulan, bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia.

Difahamkan, mangsa keluar dari rumah tanpa disedari bapanya sebelum memasuki kereta Nissan Sunny berkenaan namun gagal keluar semula.

Ketika kejadian, ibu mangsa tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Kereta itu dipercayai milik bapa mangsa tetapi sudah lama tidak digunakan kerana rosak.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian, berkata, kes masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 11:20 PM