RITCHIE (kiri) pada majlis pelancaran kempen Potongan Harga Jangka Lama Tesco, semalam.
RITCHIE (kiri) pada majlis pelancaran kempen Potongan Harga Jangka Lama Tesco, semalam.
myMetro

Kuala Lumpur: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco), memperuntukkan pelaburan kira-kira RM36 juta bagi melancarkan kempen Potongan Harga Jangka Lama dengan tawaran harga patut untuk lebih 150 barangan di seluruh rangkaian pasar raya besarnya dan kedai serbaneka Tesco-Pernama Express di seluruh negara.

Kempen yang bermula semalam akan berlangsung sepanjang tahun ini dengan pelbagai potongan harga keperluan barangan rumah dan produk keperluan bayi membabitkan penurunan harga sebanyak lima hingga 17 peratus termasuk susu formula, lampin dan produk penjagaan bayi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Paul Ritchie berkata, ia juga adalah sebagai sebahagian daripada usaha menghargai kesetiaan para pelanggan Tesco yang menjadikan pasar raya besar itu sebagai destinasi pilihan membeli barangan keperluan harian.

“Selain menghargai semua pelanggan Tesco, ia adalah kesinambungan daripada kempen dilakukan pada tahun lalu yang mendapat sambutan menggalakkan kerana ia sedikit sebanyak membantu dalam situasi kenaikan kos sara hidup ketika ini,” katanya pada majlis pelancaran kempen Potongan Harga Jangka Lama, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan kempen Murah Hari-Hari dan Lebih Jimat yang lalu, pihaknya mendapati trend pembeli adalah lebih kepada mencari barangan pada harga patut dan murah namun berkualiti.

“Sebagai pengendali pasar raya besar, kami sentiasa mendengar dan akan mengikut kehendak pelanggan dan perkara berkenaan mendorong melakukan kembali kempen ini dengan tawaran lebih istimewa.

“Bagi kempen kali ini, kami memberi fokus kepada barangan bayi berikutan kebanyakan keluarga berbelanja hampir 60 peratus perbelanjaan runcit bagi barangan bayi seperti susu formula dan lampin. Kami berharap ia dapat membantu mengurangkan beban dan berbelanja lebih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 7:02 AM