Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Generasi era 1980-an tentunya tahu lagu Apa Kono Eh Jang yang dipopularkan Ally Noor dan Mastura.

Gandingan mereka berjaya memikat ramai peminat sehingga menjadi siulan di mana-mana.

Khas untuk peminat, Jabatan Drama Pusat Kebudayaan Universiti Malaya di bawah naungan Lembaga Pengurusan Universiti Malaya mengadakan pementasan muzikal Jang Oh Jang bermula jam 9 malam ini hingga Ahad.

Persembahan yang berlangsung di Panggung Eksperimen Universiti Malaya, Kuala Lumpur ini membabitkan pelajar dan Alumni Jabatan Drama, Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya serta pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sri Petaling.

Teater diilhamkan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya Arshad Ayub berlatarkan adat, azam dan angan-angan dalam kalangan masyarakat Minang Negeri Sembilan.

Ia turut mendapat kerjasama Persatuan Mahasiswa dan Mahasiswi Negeri Sembilan (PEMANIS) dan diterbitkan Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (PKUM) Profesor Madya Dr Nasir Hashim dan diarahkan Dr Rosdeen Suboh.

Teater ini turut menampilkan kelainan dengan mengutarakan penggunaan penuh dialek Negeri Sembilan, elemen pergerakan pencak Randai dan himpunan lagu Si Ujang, Omak serta lainnya.

Kebanyakan lagu dalam teater ini dipopularkan Ally Noor dan Mastura pada pertengahan tahun 1980-an dan diberi nafas baru.

Ia bakal menguji kemampuan pelakon dalam menguasai loghat dan muzik Negeri Sembilan serta kecekapan mereka mengawal pergerakan randai.

Keseluruhan persembahan akan menampilkan himpunan lagu si Ujang dan Milah yang popular pada era 1980-an.

Rosdeen berkata, persembahan itu menampilkan 80 tenaga artistik dan pengurusan yang terdiri daripada pensyarah, pelajar dan ahli alumni PKUM.

“Gabungan tenaga produksi daripada empat jabatan akademik Pusat Kebudayaan iaitu Drama, Muzik, Tari dan Seni Visual adalah satu usaha murni dan membuktikan kesungguhan warga PKUM dalam mengembangkan dan memartabatkan seni budaya warisan tanah air,” katanya.

Jang Oh Jang mengisahkan seorang pemuda kampung bernama Ujang yang kecewa kerana pinangannya terhadap kekasih, Milah ditolak hanya disebabkan Ujang seorang pemuda tidak berharta dan tidak mempunyai pekerjaan.

Sebaliknya, keluarga Milah menerima pinangan Samad daripada golongan berada yang mempunyai harta serta berpelajaran.

Oleh kerana hatinya masih sayang dengan Milah, Ujang curi-curi untuk berjumpa dengan Milah buat kali terakhir.

Namun, orang kampung mendapat tahu dan Samad menjadi berang kerana Ujang sudah melanggar adat.

Hati Ujang bertambah hiba apabila ibunya atau Omak sendiri termakan dengan fitnah orang kampung Ujang melakukan perkara sumbang bersama Milah walhal itu hanya fitnah semata-mata.

Akhirnya, Ujang membawa diri meninggalkan kampung halaman termasuk ibu yang dikasihinya.

Pemergian Ujang menimbulkan kesedihan dalam hati ibunya yang saban hari tetap menunggu kepulangan anak kesayangannya. Kekesalan timbul dalam hati Omak apabila Rabeah (sepupu Milah) dan Liya (teman Rabeah) menceritakan perkara sebenar yang Ujang tidak bersalah.

Perkara ini menjadikan Omak semakin sedih dan merindui Ujang. Ujang akhirnya pulang ke kampung sebagai insan baru yang pulang dari perantauan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 11:18 AM