KAKA
AKIM & The Majistret
STACY
M Nasir
AMY Search
Syanty Octavia Amry


Dua stesen radio milik Media Prima Berhad buat julung kalinya bergabung menjayakan konsert dinamakan Hot Kool Jam di Setia City Park, Setia Alam, Selangor, esok.

Konsert yang bermula jam 4 petang hingga 11 malam itu menampilkan 23 artis pelbagai era dan genre.

Pertembungan arus muzik yang berbeza di pentas besar Hot Kool Jam akan memberikan satu dimensi baru dalam penganjuran konsert tempatan.

Pengurus Besar Kumpulan, Rangkaian Radio Media Prima Anida Mohd Tahrim berkata, ini adalah konsert pertama seumpamanya yang mungkin dilakukan dalam industri penyiaran radio.

“Biarpun pada zahirnya Hot FM dan Kool FM dilihat seperti bersaing, namun kami melihat ia adalah satu persaingan yang sihat.

“Berbeza daripada segi pengisian serta sasaran pendengar, kami yakin gabungan ini akan melahirkan sesuatu yang lebih kreatif dan bernilai kepada pendengar kedua-dua stesen berkenaan,” katanya.

Anida berkata, pihaknya mendapati trend terkini pendengar muda, mereka bukan saja mendengar lagu baru, malah mereka turut mendengar lagu lama dan begitu juga sebaliknya.

“Selain itu, selaras dengan pelancaran Kool FM dan penyusunan semula Hot FM baru-baru ini, Hot Kool Jam juga bertujuan memperkenalkan barisan penyampai baru kedua-dua stesen ini kepada pendengar kami di samping dapat merapatkan hubungan dua hala dengan lebih baik,” katanya.

Terbahagi kepada dua sesi, sesi pertama akan bermula jam 4 petang dengan sesi akustik dan minus one oleh barisan artis baru dan lama.

Mereka yang terbabit ialah juara Projek Muzik Hot FM Monalyssa akan memulakan persembahan pembuka tirai dan diikuti dengan Azhael, Ronnie Hussein, Awi Rafael dan Ippo Hafiz.

Generasi penyanyi terdahulu seperti Ayai, Amy Mastura dan Rahmat Mega akan menghiburkan pengunjung pada sebelah petang.

Menyertai mereka adalah finalis serta pemenang Mentor Milenia iaitu Qody dan Fareez akan menunjukkan bakat mereka buat pertama kalinya di hadapan orang ramai.

Sementara konsert berlangsung, siaran luar konti Hot FM dan Kool FM juga akan diadakan secara langsung bagi memeriahkan lagi konsert pada hari berkenaan.

Pada jam 8 malam, sesi kedua konsert akan bermula dengan persembahan secara langsung oleh ‘house band’ yang diterajui AG Coco.

Nantikan persembahan hebat oleh Stacy, Black, Sandra, Kaka Azraff dan Sissy Iman.

Selain itu, persembahan Datuk M Nasir, Amy Search, Mus MAY pada sebelah malamnya pasti dinanti-nantikan.

Bagi yang merindui penyanyi bersuara lunak Nora, dia akan digabungkan bersama Siti Nordiana dan juga pemegang pertama Anugerah Juara Lagu, Francisca Peter.

Selaku penyampai baru Kool FM, Haiza juga akan menyerikan malam itu di samping band yang semakin meningkat naik iaitu Akim & The Majistret.

Malah, Hot Kool Jam turut berbesar hati apabila trio legenda tanah air, KRU sudi untuk bersama menjadikan konsert itu lebih istimewa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 11:21 AM