Sudirman Mohd Tahir


Drama Kerana Terpaksa Aku Relakan yang ditayangkan di slot Akasia TV3 dua tahun lalu berjaya mengangkat nama Amar Baharin, 31, sehingga dikenali ramai.

Populariti diraih Amar itu terus meletakkan dirinya sebagai antara pelakon lelaki yang menjadi pilihan penerbit dan stesen TV.

Satu persatu drama dibintangi selepas Kerana Terpaksa Aku Relakan menjadi kegilaan penonton seperti Suamiku Encik Sotong, Cik Bunga Encik Sombong dan Tersuka Tanpa Sengaja.

Namun, Amar gagal meraih sebarang trofi pada malam Anugerah MeleTOP Era 2016 baru-baru ini.

Terbaru, Amar juga tidak tersenarai dalam Top 5 pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 yang diumumkan kelmarin.

“Bagi saya, tidak menjadi masalah jika tidak menang atau tidak tersenarai dalam Top 5 pun, malah ia tidak mendatangkan apa-apa kerugian kepada saya. Itu semua bersifat sementara.

“Paling penting ialah wajah saya masih ada di kaca TV dan tawaran berlakon tak putus. Jadi, tidak kisahlah orang nak kata sudah tidak popular. Setiap orang berhak nak bercakap apa pun,” katanya.

Amar berkata, tidak perlu wujud sikap iri hati atau mahu menyalahkan mana-mana pihak apabila gagal dalam sebarang penganjuran anugerah.

“Mungkin tahun ini rezeki mereka selepas kerja keras kelab peminat. Jadi tidak ada apa perlu dikesalkan malah jauh sekali nak berkecil hati dan iri hati,” katanya.

Populariti tak bermusim

Amar tetap yakin kehadirannya dalam industri lakonan masih relevan.

Pada masa sama, Amar mahu membuktikan populariti dikecapi bukan bermusim seperti tanggapan banyak pihak.

“Selepas drama Kerana Terpaksa Aku Relakan, saya meletakkan tempoh popular itu selama tiga bulan saja. Namun, tidak sangka pula penerimaan peminat berterusan sehingga sekarang.

“Malah setiap drama lakonan saya mendapat sambutan baik dan maklum balas positif. Sejak itu saya lebih yakin perkara sebegini bukannya bermusim,” katanya.

Menurut Amar, apa diterima sekarang dianggap rezeki selepas bekerja keras selama lebih enam tahun sebagai pelakon.

“Sepanjang hampir tujuh tahun dalam bidang lakonan, saya tidak pernah mengejar populariti. Apa yang saya semat dalam diri adalah berapa lama tempoh bertahan dalam dunia seni. Itu cabaran terbesar buat saya.

“Saya juga percaya jika seseorang pelakon itu menunjukkan kualiti dan perkembangan dalam lakonan, pasti saja ia diterima baik. Pada masa sama, bakat lakonan terus mendapat kepercayaan pihak penerbitan,” katanya.

Amar turut berharap sambutan peminat terhadapnya akan berpanjangan meski melakonkan watak berbeza daripada Kerana Terpaksa Aku Relakan.

“Sejujurnya, masih ramai mahukan saya melakonkan watak seperti Tajul Razin, tetapi sebagai pelakon saya perlu mencabar diri membawakan watak berbeza.

“Apa-apa pun saya perlu akur apabila watak hero sekarang menuntut karakter sedemikian. Ia seperti sudah menjadi trend. Tambahan pula kebanyakan karya adalah adaptasi daripada novel,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Amar kini sibuk menjalani penggambaran drama Akadku Yang Terakhir yang akan ditayangkan di Astro Prima pada April ini.

Menerusi drama ini, Amar buat pertama kalinya berlakon bersama Tiz Zaqyah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 11:24 AM