ANTARA pengunjung yang menyaksikan karya seni artis muda tempatan pada pameran YMA III di Galeri PETRONAS.
‘POTRET DIRI’ karya Mohd Faizal Suhif.
KARYA instalasi Nur Hasyimah Ramli bertajuk ‘Freedom’.
KARYA Anissa Abdul Aziz bertajuk ‘Walk In My Own Shoes’ yang menggunakan campuran media.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Sesuai dengan gelaran artis muda, hasil karya seni catan, arca dan kolaj yang dihasilkan juga kelihatan lebih moden dan urban.

Itulah keistimewaan karya kreatif dihasilkan 39 artis muda dalam pameran Young Malaysian Artists: New Object(ion) III (YMA III) di Galeri PETRONAS. Ini pameran kali ketiga selepas edisi pertama dan kedua mendapat sambutan menggalakkan.

Sekali imbas karya yang dihasilkan kelihatan seperti rekaan dan hiasan yang biasa didapati dalam kehidupan seharian tetapi pendekatan eksperimental yang digunakan dapat merangsang minda dan idea seni.

Seramai 39 artis muda daripada pelbagai genre dan latar belakang mengambil bahagian. Semua 39 hasil seni yang ditampilkan bukan saja baru dan segar, malah mempunyai identiti dan keunikan tersendiri.

Memilih tema ‘The Everydays’ untuk YMA III, barisan artis muda terbabit meneroka identiti dengan meluahkan kefahaman budaya umum mengikut cara tersendiri.

Pengarah Galeri PETRONAS Rosli A Rahim turut kagum dengan hasil karya artis muda berkenaan kerana bukan saja unik, malah merangsang fikiran.

“YMA III membuktikan komitmen PETRONAS untuk mengiktiraf bakat muda negara dengan menawarkan peluang kepada mereka untuk memupuk bakat. Kami menyokong penuh kreativiti mereka dalam membina kerjaya seni yang memberi manfaat bersama.

“Kami percaya pelukis generasi muda memainkan peranan penting dalam usaha memartabatkan seni kontemporari tempatan dan mengharumkan nama negara menerusi karya mereka yang unik dan hebat,” katanya.

YMA III turut menjadi platform kepada artis muda tempatan bereksperimen dan meluaskan sempadan kreatif, selain mencungkil bakat karyawan seni baru.

Menampilkan pelbagai jenis medium dan kombinasi teknik moden, barisan artis muda menguji kepintaran dan kemahiran seni masing-masing bagi menghidupkan konsep keindahan tradisional selain menyampaikan makna tersendiri melalui karya dihasilkan.

Pameran dibuka dari 23 Februari hingga 22 Mei depan dan masuk percuma.

INFO

YOUNG MALAYSIAN ARTISTS: NEW OBJECT(ION) III

- Artis: Berkumpulan (39 artis)

- Jumlah karya: 39

- Lokasi: Galeri PETRONAS, Tingkat 3 Suria KLCC, Kuala Lumpur

- Tarikh: Sehingga 22 Mei 2016

- Masa: 10 pagi hingga 8 malam

- Telefon: 03-20517770

- Laman web: galeripetronas.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 12:23 PM