BATMAN v Superman pertama kali gabung dua superhero di layar perak.
Oleh Riadz Radzi


Filem Batman v Superman: Dawn of Justice yang mula ditayangkan semalam adalah antara filem dinanti-nantikan tahun ini.

Tarikan utama pastinya kerana ia pertama kali dua ‘superhero’ DC Comics ini digabungkan dalam sebuah filem selain turut mengetengahkan watak popular DC Comics seperti Wonder Woman, The Flash, Aquaman dan Cyborg.

Superman ciptaan Jerry Siegel dan Joe Shuster pertama kali diperkenalkan pada 1938 manakala Batman yang dicipta Bob Kane setahun selepas itu.

Tidak dinafikan, Superman dan Batman adalah watak ‘superhero’ paling popular. Hampir setiap generasi manusia

di muka bumi ini mengenali mereka.

Batman v Superman : Dawn of Justice arahan Zack Snyder juga dinanti-nantikan kerana pertama kali menampilkan Ben Affleck sebagai Batman.

Watak Superman pula dibawa Henry Cavill yang sebelum ini sudah membuktikan kemampuannya sebagai Superman dalam filem Man of Steel pada 2013.

‘DARK KNIGHT’

Siapa paling berjaya sebagai Batman?

Dalam tayangan perdana Batman v Superman : Dawn of Justice di New York, Amerika Syarikat, Ahad lalu, ada komen positif mengatakan Affleck berjaya membuktikan dia adalah pelakon Batman yang terbaik.

Affleck dikatakan berjaya ‘menewaskan’ Christian Bale yang sebelum ini sinonim sebagai Batman dalam Batman Begins pada 2005, The Dark Knights (2008) dan The Dark Knights Rises (2012).

Selepas dipilih membawa watak Batman, Affleck ada mendapatkan nasihat daripada Bale mengenai watak itu.

“Secara kebetulan, saya terserempak dengan Bale di sebuah kedai kostum ketika membeli kostum untuk anak-anak. Bale cuma menasihatkan saya supaya memastikan sut Batman itu ada zip,” katanya.

Sebelum itu, Bale pernah mengakui dia cemburu apabila mendapat tahu Affleck ditawarkan untuk membawa watak Batman dalam filem itu.

Kali pertama Batman diperkenalkan di TV ialah pada 1943. Lewis Wilson menjadi pelakon pertama membawa watak Batman di TV yang sebelum itu hanya popular menerusi komik.

Pada 1949, Robert Lowery dipilih untuk melakonkan watak Batman dalam siri TV Batman and Robin. Siri berkenaan berjaya membuatkan Batman dikenali jutaan peminat yang sebelum ini tidak pernah membeli komiknya.

Selepas 40 tahun, barulah Batman diperkenalkan di layar perak dengan judul Batman. Kali ini kerusi pengarah diberi kepada Tim Burton manakala Michael Keaton diberi peranan sebagai Batman dalam filem terbitan Warner Bros pada 1989 itu.

Keaton juga antara yang berjaya sebagai Batman apabila filem itu mencatat kejayaan dengan menjadi filem paling laris pada tahun itu selain menjadi filem kelima paling laris sepanjang zaman.

Keaton dan Burton kembali dengan Batman Returns pada 1992. Walaupun berjaya mencatat kutipan memberangsangkan serta memperkenalkan watak antagonis Penguin dan Catwoman, tetapi Warner Bros kecewa dengan filem berkenaan.

Joel Schumacher kemudian menggantikan Burton sebagai pengarah dalam Batman Forever dan Batman & Robin pada 1995 dan 1997. Kali ini Val Kilmer dan George Clooney dipilih membawakan watak Batman.

Bagaimanapun, Batman & Robin gagal di pasaran menyebabkan penerbit membatalkan penerbitan sekual keempat filem itu Batman Triumphant.

‘MAN OF STEEL’

Walaupun pertama kali diperkenalkan di layar perak menerusi lakonan Kirk Alyn, tiada siapa boleh menafikan kehebatan Christopher Reeve membawa watak Superman dalam empat sekuelnya iaitu Superman pada 1978, Superman II (1980), Superman III (1983) dan Superman IV : The Quest for Peace (1987).

Keberkesanan lakonan Reeve sebagai Superman membuatkan dia cukup sinonim dengan watak itu, malah ada yang melihatnya sebagai Superman sebenar.

Sebelum itu pada 1951, George Reeves membawa watak ‘superhero’ itu menerusi siri TV Adventures of Superman.

Selepas Superman IV, watak Superman lebih popular dalam siri TV antaranya Superboy yang ditayangkan mulai 1988 hingga 1992 yang menyaksikan pelakon John Newton dan Gerard Christopher membawa watak itu.

Dean Cain dan Tom Welling adalah yang paling popular sebagai Superman di kaca TV menerusi siri Lois & Clark : The New Adventures of Superman ( 1993 - 1997) dan Smallville (2001 - 2011).

Smallville yang menampilkan Welling sebagai Clark Kent ketika remaja dan belum menjadi Superman mencatat kejayaan membanggakan.

Ia mencipta rekod apabila episod pengenalannya mencatat rating 8.4 juta penonton. Dalam 10 musim tayangannya, ia mencatat purata 4.34 juta penonton setiap episod optik Smallville musim kedua mencatat purata rating paling tinggi iaitu 6.3 juta penonton.

Selepas kali terakhir difilemkan pada 1987, Superman kembali ke layar perak pada 2006 menerusi Superman Returns lakonan Brandon Routh.

Walaupun mencatat kutipan box office dan menerima ulasan positif terutama dari segi jalan cerita dan kesan visual, penerbit Warner Bros kecewa kerana ia tidak berjaya di peringkat global.

Sekuelnya sepatutnya diterbitkan pada 2009, tetapi dibatalkan sebelum ia difilemkan semula dengan judul Man of Steel arahan Zack Snyder dan Henry Cavill sebagai Superman pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 1:25 AM