WAN Azlin mahu kembang bakat di China.
WAN Azlin mahu kembang bakat di China.
Oleh Ramlah Zainal


Selepas bergelar Naib Juara Idola Kecil musim kelima (2012), pendatang baru, Wan Azlin enggan menoleh ke belakang lagi.

Bagi pemilik nama sebenar, Wan Adlyn Maasyah Mohd Shah,16, dia tidak hadir dengan tangan kosong sebaliknya bersandarkan bakat dan minat mendalam terhadap bidang nyanyian.

“Saya minat menyanyi sejak usia enam tahun dan sering menjuarai pelbagai pertandingan nyanyian sejak di bangku sekolah.

“Saya bertuah kerana keluarga menyokong minat saya,” katanya.

Menurut Wan Azlin, dia memilih bernaung di bawah syarikat rakaman FMC untuk menguruskan karier nyanyiannya.

“Sayamengikat kontrak dengan pengurusan FMC selama tujuh tahun.

“Sebagai permulaan, saya mempertaruhkan single Takkan Ada yang dicipta DJ Fuzz.

“Diharap single ini dapat diterima ramai dan diputarkan di semua stesen radio tempatan,” katanya.

Meskipun perlu bersaing dengan ramai penyanyi, Wan Azlin tidak gentar kerana percaya dengan bakat dan kelebihan diri.

“Setiap orang ada kelebihan tersendiri. Saya boleh menyanyi dalam 10 bahasa.

“Selain bahasa Malaysia dan Inggeris, saya juga boleh menyanyi dalam bahasa Mandarin, Hokkien, Kantonis, Hindi, Thai, Jepun, Korea dan Arab,” katanya.

Mengulas perancangan masa depan, pelajar Sekolah Menengah Chio Min, Kulim, Kedah ini mahu mengembangkan bakat nyanyiannya ke China.

“Saya ingin mengikut jejak penyanyi terkenal, Shila Amzah menempa nama di China satu hari nanti.

“Saya fasih berbahasa Cina kerana belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina,” katanya.

Selain program Idola Kecil, Wan Azlin juga pernah menyanyikan lagu tema siri Nana Nini Nunu di saluran TV9.

Kembangkan cabang seni

Selain menyanyi, Wan Azlin turut berhasrat menceburi bidang lakonan.

“Bidang seni luas, tidak salah jika saya gilap bakat yang ada dalam diri ini.

“Kalau boleh saya mahu jadi anak seni serba boleh,” katanya.

Sesibuk manapun dengan agenda seni, Wan Azlin tidak pernah mengabaikan pelajaran.

“Buat masa ini, saya selesa diuruskan ayah.

“Saya juga hanya memenuhi undangan nyanyian pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

“Jika tidak terikat dengan undangan nyanyian, saya akan mengisi masa senggang dengan memenuhi undangan berlakon drama dan teater,” katanya.

Antara drama yang pernah dijayakan Wan Azlin ialah Pondok Pakya untuk saluran Astro dan Pengembaraan Ben (TV9).

Manakala, teater pula Puteri Puteri Selindungan Bulan di mana dia memegang watak anak raja, Puteri Mek Mulung (permaisuri), Jakey (anak raja), Putera Gajah (anak raja) dan Tun Teja (anak Tun Teja).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 5:02 AM