Amir Abdul Hamid

Amir Abd Hamid

Bergambar

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan sudah terima laporan awal kes buli murid disuruh potong lidah di Klang.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan dalaman dan menunggu laporan penuh siasatan polis.

Menurutnya, laporan awal mendapati mangsa yang berusia lapan tahun itu dibuli di tandas sekolah sekumpulan murid sembilan tahun.

“Kementerian tidak terus menyalahkan guru kerana berlaku bukan dalam kelas. Kejadian ini amat dikesali kerana kejadian buli menurun sejak beberapa tahun kebelakangan.

“Mengenai peralatan tajam pula, sememangnya ia dilarang dibawa ke sekolah kecuali dengan kebenaran dan pemantauan guru.

"Ada yang pertikai sebelum ini contohnya mengapa gunting pun tidak boleh bawa masuk.

“Tetapi, ingin saya tegaskan perkara seperti inilah yang mahu kita elakkan. Sedih kejadian ini berlaku dan kita memantau dengan serius kejadian seumpamanya," katanya.

Malam tadi, portal Harian Metro iaitu myMetro malaporkan ibu murid itu terkejut apabila diberitahu anaknya menggunting lidah sendiri akibat dibuli.

Wanita terbabit menerima panggilan daripada pihak sekolah memaklumkan anak lelakinya itu cedera pada lidah dan segera ke sekolah itu sebelum anaknya dibawa ke Hospital Ampuan Rahimah.

Menurut sumber, selepas didesak, budak lelaki berusia lapan tahun itu, menceritakan kejadian sebenar.

"Budak darjah dua itu difahamkan dibuli oleh lima murid darjah tiga. Mereka mengarahkan mangsa memotong lidahnya, jika enggan, mereka akan membelasah mangsa.

"Dia (mangsa) yang takut dengan ugutan itu terus menggunting sebahagian lidahnya hingga mengakibatkan cedera," katanya.

Ibu mangsa ketika dihubungi, malam tadi, menjelaskan anaknya kini dalam keadaan baik.

"Saya mengetahui perkara ini daripada anak saya, tetapi saya serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan," katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Gambar budak lelaki itu tersebar di laman sosial, semalam sehingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 12:21 PM