KHAIRULNIZAM (kanan) dan Nur Shazrin terpilih ke Sukan Olimpik Rio.
KHAIRULNIZAM (kanan) dan Nur Shazrin terpilih ke Sukan Olimpik Rio.

Kuala Lumpur: Persoalan siapa dua atlet pelayaran yang akan beraksi di Olimpik Rio Ogos ini terlerai apabila Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) akhirnya mengesahkan Khairulnizam Afendy dan Nur Shazrin Latif akan mewakili negara di temasya berprestij itu.

Presiden MSA Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, mesyuarat yang diadakan pada 25 Mac lalu bersetuju dengan pemilihan Khairulnizam dan Shazrin bagi mewakili negara dalam acara Laser Standard Lelaki dan Laser Radial Wanita.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek terutama membabitkan pencapaian kedua-dua atlet berkenaan ketika beraksi di Kejohanan Perahu Layar ASAF (Persekutuan Pelayaran Asia) di Abu Dhabi Mac lalu.

Khairulnizam mencipta kejutan selepas meraih pingat emas acara Laser Standard Lelaki manakala Nur Shazrin perak, Laser Radial Wanita pada kejohanan itu.

“Keputusan pemilihan ini dibuat lebih awal bagi membolehkan persiapan awal dibuat untuk mereka menjalani latihan intensif termasuk menyertai beberapa kejohanan luar negara seperti di Itali dan Jerman sebelum berkampung di Brazil mulai Julai sehingga Sukan Olimpik 2016,” katanya. Kamaruzzaman berkata, MSA meletakkan sasaran memperbaiki kedudukan pada Sukan Olimpik 2012 London selain mendapat tempat terbaik dalam kalangan negara Asia pada saingan kali ini.

Khairulnizam pernah beraksi di London empat tahun lalu, namun sekadar menduduki tempat ke-47 daripada 49 pelayar.

“Apa yang diharapkan sokongan dan doa seluruh rakyat Malaysia agar mereka mencapai kejayaan di Rio nanti,” katanya.

Kamaruzzaman berkata Setiausaha Kehormat MSA Megat Fairuz Khairuddin dan Norhisham Mat Nor, masing-masing dilantik pengurus dan jurulatih yang akan mengiringi skuad pelayaran negara ke Rio nanti.

Selain Khairulnizam dan Nur Shazrin, 10 atlet negara lain sudah layak secara merit ke Sukan Olimpik Rio iaitu Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Wendy Ng, Ooi Tze Liang, Nur Dhabitah Sabri (terjun), Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa (berbasikal), Jonathan Wong (menembak), Welson Sin (renang) dan Khairul Anuar Mohamad (memanah).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 5:05 AM
Digital NSTP Subscribe