KHAIRY (tengah) bersama kanak-kanak Disleksia yang turut menyertai Sukaneka Kesedaran Disleksia di Padang Kelab Kilat TNB Bangsar.
KHAIRY (tengah) bersama kanak-kanak Disleksia yang turut menyertai Sukaneka Kesedaran Disleksia di Padang Kelab Kilat TNB Bangsar.

Kuala Lumpur: Tindakan bekas penyerang import Kelantan Erwin Carrillo membawa isu tunggakan gajinya kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bukan sesuatu yang mengejutkan.

Sebaliknya Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, menjadi hak Carrillo atau nama penuhnya Erwin Albeiro Carillo Fragozo, 32, untuk berbuat demikian.

“Dia ada pilihan untuk membawa kes tunggakan gajinya itu kepada FIFA dan ini yang akan terjadi sekiranya pasukan Liga Malaysia (Liga M) tidak selesaikan masalah tunggakan gaji pemain.

“Bagi saya, dia hanya mengikut saluran yang ada dan berharap KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) dapat menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Kesedaran Dyslexia Menerusi Sukaneka di Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bangsar, di sini semalam.

Ditanya adakah tindakan Carrillo itu memberi impak negatif kepada industri bola sepak negara, Khairy berkata mustahil untuk kerajaan menyekat apa yang dilakukannya itu.

“Yalah...tak akan kita hendak sekat dia. Itu pilihannya,” katanya ringkas.

Carrillo mempunyai tunggakan gaji bersama bekas majikannya itu selama tiga bulan berjumlah AS$55,000 (RM224,000) selepas semusim di Kelantan pada 2015.

Pemain itu dilaporkan kecewa dengan KAFA susulan tiada sebarang jawapan daripada persatuan itu walaupun sudah menghantar surat pemberitahuan menerusi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 5:07 AM