KAWASAN pusat pelupusan sampah Bukit Palong yang terbakar di Lukut, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Cuaca panas mengakibatkan enam kawasan di Seremban dan Port Dickson termasuk pusat pelupusan sampah Bukit Palong di Lukut, di sini, terbakar sejak 8 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, 46 pegawai dan anggota bomba masih terbabit dalam operasi pemadaman di semua kawasan berkenaan.

Menurutnya, kebakaran di pusat pelupusan sampah seluas 0.8 hektar di Bukit Palong, dikawal hasil kerjasama SWM Environment Sdn Bhd, yang menyelia kawasan itu.

"Dua kawasan hutan di Port Dickson turut terbakar membabitkan hutan seluas kira-kira 0.8 hektar bersebelahan Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan hutan seluas dua hektar di Tanjung Tuan.

"Selain itu, tiga kawasan di Seremban yang terbakar adalah kawasan hutan seluas 1.2 hektar di Kilometer 279 Lebuhraya Utara-Selatan, kawasan belukar berhampiran Taman Jasmin dan hutan seluas 0.4 hektar di Taman Bukit Sendayan," katanya.

Katanya, semua kebakaran itu adalah akibat cuaca panas malah di daerah Seremban, pihaknya menerima 15 panggilan kebakaran hutan dan belukar, sehingga 5 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 6:35 PM