DR Sha’ari  (duduk dua dari kanan) dan Dr Mahaaganapathy menandatangi kerjasama dua hala sambil diperhatikan Dr Siti Aishah.
DR Sha’ari (duduk dua dari kanan) dan Dr Mahaaganapathy menandatangi kerjasama dua hala sambil diperhatikan Dr Siti Aishah.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Open University Malaysia (OUM) menawarkan biasiswa bernilai RM3 juta kepada 100 penuntut terawal mendaftar bagi program ijazah sarjana muda dan diploma terpilih di International Open College (IOC) bagi pengambilan Mac 2016.

Biasiswa penuh itu merangkumi yuran pengajian, elaun sara hidup bulanan, asrama dan pengangkutan.

Antara program yang terpilih ialah Diploma Pengurusan, Diploma Pengurusan Sumber Manusia, Diploma Perakaunan, Diploma Komunikasi dan Media dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan.

Lebih menarik, biasiswa berkenaan tidak hanya diberikan kepada lepasan sekolah yang cemerlang saja.

Ketua Pegawai Eksekutif IOC Profesor Dr Siti Aishah Hashim Ali berkata, spesifikasi pemilihan bagi penerima biasiswa lebih meluas dengan memerlukan sekurang-kurangnya tiga subjek kredit.

“Semua pelajar ada peluang memohon biasiswa ini termasuk mereka yang tidak mempunyai keputusan akademik cemerlang kerana syarat minimum ialah tiga subjek kredit bagi lepasan SPM.

“Ini kerana pelajar sebegini jarang diberi peluang. Mereka yang tidak cemerlang di peringkat sekolah tidak semestinya mundur apabila menyambung pengajian kerana biasanya mereka lebih berpotensi apabila mengambil bidang pengajian bersesuaian,” katanya.

Dr Siti Aishah berkata, pelajar berkenaan tidak hanya dinilai melalui peperiksaan dan ujian semata-mata kerana pembelajaran di IOC lebih berlandaskan merit.

“Setelah mendapat biasiswa, mereka akan dipantau dan perlu mendapat keputusan nilai purata gred kumulatif sekurang-kurangnya 3.5 setiap semester,” katanya pada satu sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) antara UOM dan IOC dengan 1Malaysia Indian Student Movement (1MISM) di kampus utama OUM, baru-baru ini.

Perjanjian itu ditandatangi Naib Presiden Akademik OUM Prof Dr Sha’ari Abd Hamid dan Presiden 1MISM Dr Mahaaganapathy Dass. Kerjasama itu bagi membantu ahli 1MISM yang layak menyambung pengajian di OUM dan IOC.

Sementara itu, Dr Mahaaganapathy berkata, langkah itu diharap meningkatkan jumlah pelajar India menyambung pengajian di peringkat tinggi.

Katanya, setakat ini dua pelajar dibantu 1MISM memperoleh biasiswa penuh OUM dan akan menyambung pengajian pada sesi Mac 2016.

“Kedua-dua mereka penerima biasiswa penuh dan antara yang terawal menerima tawaran itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 5:00 AM