BERNAMA

Sepang: Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menjalankan siasatan berhubung penyalahgunaan logo Halal Jakim untuk satu produk berasaskan daging babi membabitkan syarikat tempatan.

Memandang serius perkara yang menjadi viral di media sosial sejak semalam, Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Dr Sirajuddin Suhaimee berkata berdasarkan alamat di pek pembungkusan berkenaan, kilang pengeluaran produk berkenaan dikesan di sebuah negeri di pantai timur.

Menurutnya, pengusahanya juga didapati mengambil kesempatan menggunakan tagline bertulisan mandarin, 'Spicy Malay Bacon' untuk menarik pelanggan.

“Adalah jelas produk berkenaan tidak akan diberi pengiktirafan Jakim kerana mengeluarkan produk makanan berasaskan daging bukan halal," katanya ketika ditemui pada Konvensyen Badan Pensijilan Halal ke-7 di sini, hari ini.

Beliau berkata perkara itu juga melanggar peraturan Akta Perihal Dagangan 2011 berkaitan penggunaan logo Halal sebagai alat pemasaran yang mampu menarik pelanggan Islam serta bukan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 5:52 PM