KEADAAN kereta dinaiki dua beranak selepas dipercayai dirempuh treler. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Ibu dan anak parah selepas kereta dinaiki mereka dipercayai dirempuh treler dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Bandar Seri Jempol, tengah malam tadi.

Kemalangan pada 12.10 tengah malam itu menyebabkan Noriza Tihanif Hamzah, 24, dan ibunya Halimah Sulaiman, 66, parah di beberapa anggota badan.

Difahamkan, Noriza yang memandu kereta ditemani ibunya dalam perjalanan dari Bahau ke Bandar Sri Jempol.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol, Mohd Fahmi Abdullah berkata, bomba menerima panggilan kecemasan jam 12.17 tengah malam dan tiba di lokasi enam minit kemudian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami dapati treler yang dipercayai merempuh kereta dinaiki dua beranak itu sudah tiada.

"Enam anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk dirawat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 9:42 AM