ORANG ramai menunaikan Solat Istisqa (solat sunat mohon turun hujan) yang diimamkan oleh Imam Besar, Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim di hadapan Masjid Zahir. FOTO AMRAN HAMID
Oleh Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Alor Setar: Kira-kira 1,500 penduduk sekitar bandaraya ini hadir menunaikan solat sunat Istisqa di Dataran Masjid Zahir, di sini, sebagai usaha memohon hujan daripada Allah SWT selepas seluruh negara dilanda kemarau panjang akibat fenomena El Nino sejak hujung tahun lalu, hari ini.

Solat bermula jam 8.30 pagi itu dianjurkan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) bersama Syarikat Air Darul Aman (SADA) bersama kerajaan negeri dan dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Ahli Exco serta pemimpin negeri.

Solat diimamkan Imam Besar Masjid Zahir Datuk Roslan Abd Halim, manakala khutbah berjudul 'Mohon Turun Hujan' disampaikan Mufti Kedah Muhamad Baderudin Ahmad.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, semua masjid di negeri itu disarankan melakukan solat sunat Istisqa secara berterusan agar usaha berkenaan dimakbulkan Allah dalam menurunkan hujan.

"Kita berharap Allah makbulkan doa kita kerana fenomena El Nino yang kita hadapi kini semakin berlarutan," katanya pada sidang selepas menghadiri solat sunat Istisqa di Dataran Masjid Zahir di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 10:37 AM