SIN Woon (tengah) bersama pemenang pada majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)-MSSM-Milo 2015.
Aida Adilah Mat


Putrajaya: Prestasi cemerlang sepanjang 2015 membolehkan 13 atlet dan penggiat sukan tanah air menerima Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia MSSM-MILO 2015.

Fauzi Kaman Shah (gambar) dalam sukan pelayaran dinobatkan penerima Anugerah Putera manakala kejayaan bergelar juara remaja dunia membolehkan Goh Jin Wei dianugerahkan Anugerah Puteri.

Bersekolah di Sekolah Menengah Kelibang Langkawi Fauzi merangkul emas menerusi penyertaan pertamanya di temasya Sukan SEA Singapura dalam acara optimis selain menghadiah kilauan pingat acara optimis keseluruhan di Kejohanan Perahu Layar ASAF di Abu Dhabi.

Bagi Fauzi, anugerah dimenangi itu disifatkan kejayaan manis untuknya terus mengorak langkah ke peringkat lebih tinggi dan jika boleh ke Olimpik 2020 Tokyo.

“Terima kasih atas anugerah ini. Sasaran saya selepas ini mengekalkan emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur nanti,” katanya.

Bagaimanapun, Jin Wei tidak hadir untuk menerima anugerahnya kerana berada di Perancis.

Tahun lalu, dua anugerah utama itu menjadi milik perenang negara Wilson Sim dan Nur Dhabitah Sabri dalam acara terjun.

Paling membanggakan kedua-dua penerima anugerah itu melayakkan diri ke Olimpik Rio Ogos ini.

Sementara
itu Anugerah Emas milik pemain skuasy Ng Eain Yow hasil kejayaannya merangkul dua emas di Sukan Komanwel Remaja di Samoa dalam acara individu dan berpasukan.

Amir Amirul Azhar dari Sekolah Kebangsaan Garong 2, Kota Bahru Kelantan menerima Anugerah Tunas Harapan Putera dan Aira Azman Tunas Harapan Puteri. Kedua-duanya daripada sukan skuasy.

Anugerah Khas Putera dan Puteri milik Tan Cheong Wan daripada sukan wusyu dan Nur Atikah Mahammad Sobri sukan angkat berat.

Anugerah Pendidikan Khas Putera milik Abdul Latif Romly dalam sukan olahraga dan Felicia Mikat juga dalam sukan sama menjadi penerima anugerah Puteri.

Juara keseluruhan MSSM 2015 milik Majlis Sukan Sekolah Negeri Selangor buat kali ke-15 berturut-turut.

Anugerah disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan ll Chong Sin Woon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 11:11 AM