GURU Besar M Subramaniam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima wang suapan sebanyak RM4400 dari pengusaha kantin dua tahun lalu. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Seorang guru besar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM4,400 daripada seorang pengusaha kantin, dua tahun lalu.

Tertuduh, M.Subramaniam, 55, yang sebelum ini berkhidmat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rawang bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.

Subramaniam didakwa menerima suapan berbentuk cek bernilai RM1,500 dan wang tunai RM2,900 tanpa balasan daripada K Devega, masing-masing pada 20 Januari dan 8 Oktober 2014.

Difahamkan, wang terbabit adalah untuk membolehkan Devega mendapat surat sokongan bagi melanjutkan kontrak kantin di sekolah berkenaan.

Subramaniam didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim Selamat Yahya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 16 Jun depan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Hafezan Mat Zain manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 11:17 AM