Hafiz Ithnin


Perkembangan era digital di Malaysia berkembang dengan begitu pesat sekali apabila ia bukan sekadar menjadi satu platform pemudah cara dari segi operasi di syarikat atau organisasi ternama yang mempunyai dana besar.

Ia turut memberi kesan kepada perkembangan syarikat pemula untuk meningkatkan perniagaan mereka di tahap lebih tinggi.

Malah, jika bercakap mengenai perkembangan era digital di Malaysia ia juga menyentuh kepada perkembangan orang ramai untuk berinteraksi atau berkomunikasi menerusi platform media sosial yang diwujudkan oleh pelbagai pihaknya misalnya yang begitu popular sekali adalah Facebook, Twitter dan Instagram.

Platfrom media sosial berkenaan memberi kesan yang begitu besar kepada ramai usahawan muda di negara ini untuk meluaskan jaringan perniagaan mereka sehingga menjana pendapatan yang besar setiap bulan.

Situasi ini turut disedari kerajaan yang melihat platform digital berkenaan sangat membantu ramai usahawan terutama golongan muda untuk menjana pendapatan.

Baru-baru ini, Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC) melancarkan Kempen #YOUCANDUIT apabila dalam kempen berkenaan terdapat dua program keusahawanan diwujudkan iaitu e-usahawan dan e-rezeki.

e-rezeki adalah program bagi membimbing semua golongan untuk menjana pendapatan tambahan menerusi bimbingan yang MDeC laksanakan dan boleh disertai suri rumah, pekerja am atau sesiapa saja yang ingin menambah pendapatan mereka menerusi perniagaam atas talian.

Manakala, bagi program e-usahawan ia disasarkan kepada usahawan yang belum lagi memanfaatkan digital sebagai platform perniagaan mereka terutama bagi mereka yang berniaga secara kecil-kecilan. Malah, program itu turut memberi dorongan kepada ramai pelajar di peringkat institusi pengajian tinggi untuk menjadi usahawan ketika belajar menerusi platform ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MDeC Datuk Yasmin Mahmood berkata, sejak e-rezeki diperkenalkan pada Jun tahun lalu, lima institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) menjadi perintis dalam program berkenaan yang setakat ini 4,000 peserta menyertainya.

“Lebih menggembirakan ada antara mereka yang mampu menjana pendapatan antara RM3,000 hingga RM12,000 sebulan dengan hanya menjual produk fesyen keluaran mereka sendiri.

“Selain itu, sehingga hujung tahun ini, kami menyasarkan untuk memperluas program ini ke semua institusi TVET bagi memastikan lebih ramai golongan muda mampu menjadi usahawan ketika belajar lagi,”katanya kepada selepas majlis pelancaran itu yang diadakan di Kuching, Sarawak dan disempurkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada majlis itu, tiga usahawan muda yang berjaya menerusi Program e-usahawan diperkenalkan iaitu Mas Eizwani Spary, 22, Fatin Afifah Shukor, 21 dan Suriani Chee, 26 yang berjaya menjana pendapatan hingga RM12,000 sebulan.

Mas Eizwani berkata, minatnya dalam bidang usahawan bermula sejak sekolah menengah dengan membantu ibunya menjual makanan di sekolah dan tidak menyangka program e-rezeki yang diwujudkan di Institut Kemahiran MARA mampu meneruskan minatnya dalam bidang itu.

Beliau berkata, kini dengan hasil pendapatan jualan tudung menerusi talian sekitar RM3,000 sebulan dia tidak bergantung wang perbelanjaan daripada bapanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Dengan program e-rezeki ini sangat membantu saya membantu pendapatan sebagai seorang pelajar dan anak yang boleh meringankan beban ibu bapanya walaupun kini status saya seorang pelajar.

“Saya berharap dengan menjadikan e-rezeki sebagai platfrom permulaan perniagaan akan membantu meningkatkan lagi pendapatan serta mengejar impian untuk mempunyai syarikat sendiri pada masa depan,” katanya.

Bagi Fatin Afifah, dia yang menjual pelbagai koleksi fesyen pakaian moden dan tudung menyertai program e-usahawan sejak Jun tahun lalu kini mampu menjana pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

Katanya, sebelum menyertai program berkenaan, dia hanya mampu mencatatkan pendapatan jualan sekitar RM1,000 untuk tempoh tiga bulan dan bimbingan dalam e-rezeki membantunya meningkatkan jualan perniagaan dari semasa ke semasa.

“Dalam program ini, saya diajar mengenai cara pemasaran digital yang berkesan dan ia benar-benar memberi kesan yang positif kepada saya sebagai usahawan muda terutama meluaskan jualan produk ke seluruh Malaysia serta juga Singapura.

“Sebagai usahawan baru, saya melihat perniagaan online amat mudah untuk menjana pendapatan memandangkan ia tidak memerlukan modal yang besar untuk beroperasi,” katanya.

Sementara itu, Suriani Chee kini berjaya mencatatkan jualan sehingga RM12,000 sebulan menerusi jualan produk fesyen yang mempunyai identiti Sarawak.

Walaupun Suriani mempunyai latar belakang keluarga yang giat dalam bidang perniagaan, dia tidak meminta sebarang pertolongan modal percuma daripada keluarganya untuk memulakan perniagaan yang diusahakan sejak tahun lalu.

Suriani berkata, hasil bekerja secara sambilan dengan keluarga dia mampu mengumpul RM10,000 bagi membeli material dan mesin untuk mengeluarkan produk pertamanya.

“e-rezeki adalah platform yang membantu saya meluaskan perniagaan di seluruh Malaysia dan ia mula mendapat permintaan daripada peminat fesyen yang bercorakkan kesenian Sarawak di Semenanjung Malaysia.

“Malah, saya juga mendapat pelawaan daripada usahawan di Semenanjung untuk membuka cawangan di sana. Namun, ia masih lagi peringkat perbincangan,” katanya.

Melihat kejayaan tiga usahawan muda ini, MDeC merancang memperluaskan program e-usahawan di seluruh pusat TVET di seluruh Malaysia sehingga hujung tahun ini.

Malah, menurut MDeC, program e-usahawan dan e-rezeki jumlah penyertaan daripada kedua-dua program berkenaan turut menjana pendapatan sebanyak RM17 juta dan menjadikannya berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran RM40 juta menjelang akhir tahun ini.

Menerusi langkah pemerkasaaan ekonomi menerusi digital itu juga adalah salah satu usaha kerajaan untuk mendapatkan sumbangan sebanyak 20 peratus daripada sektor ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 11:28 AM