KAPAL tunda Brahma 12.
KAPAL tunda Brahma 12.
Agensi

Jakarta: Kumpulan militan Abu Sayyaf dipercayai menculik 10 kru kapal tunda Indonesia dan menuntut wang tebusan AS$1.1 juta (RM4.4 juta), kata pegawai semalam.

Kapal tunda Brahma 12 dilapor membawa sebuah baj mengandungi 7,000 tan arang batu dari Sungai Puting di Kalimantan Utara menuju ke Batangas ke selatan Filipina sebelum dirampas.

Pengarah Badan Perisikan Kebangsaan, Sutiyoso berkata, penculik menuntut wang tebusan berjumlah AS$1.1 juta untuk membebaskan mereka.

“Semua kru kapal itu dijadikan tebusan, tetapi mereka dilayan dengan baik. Penculik menuntut wang tebusan sebagai syarat membebaskan mereka,” katanya.

Katanya, kapal Brahma 12 dibebaskan dan kini ditahan pihak berkuasa Filipina.

“Baj yang penuh dengan arang batu serta 10 kru kapal dijadikan tebusan dan lokasi mereka masih belum diketahui,” jelasnya.

Menurutnya, pemilik Brahma 12 mengetahui kapal itu dirampas Sabtu lalu apabila menerima dua panggilan telefon daripada individu yang mengaku anggota Abu Sayyaf.

Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan memberitahu, keselamatan 10 kru kapal itu adalah keutamaan kerajaan.

“Kementerian sering berhubung dengan kerajaan Filipina dan berusaha keras untuk menyelamatkan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 11:33 AM