AIZAT mahu watak hitam untuk cabar kemampuan.
AIZAT mahu watak hitam untuk cabar kemampuan.
Ramlah Zainal


Bakatnya mula mendapat perhatian ramai menerusi filem genre komedi, Aku Tak Bodoh bergandingan dengan Aeril Zafrel dan Namron pada 2010.

Namun, selepas filem itu, Aizat, 23, terus menyepikan diri. Terbaru, pelakon muda yang pernah menyertai program The Band ini kembali mewarnai persada seni tanah air, sekali gus mengukuhkan namanya dalam bidang lakonan.

“Ketika berlakon dalam filem Aku Tak Bodoh saya baru berusia 16 tahun. Saya terpaksa berehat buat seketika untuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Kebetulan ayah tidak merestui pembabitan dalam bidang lakonan.

“Saya berusaha meyakinkan ayah dengan menampilkan hasil terbaik dalam setiap lakonan. Pada masa sama, saya mahu buktikan kepada ayah bidang ini juga boleh menjamin masa depan.

“Syukur ayah mula merestui jalan yang saya pilih. Walaupun ayah tidak memuji lakonan saya, dia bangga melihat saya beraksi di kaca televisyen,” katanya.

Ditanya soal populariti pula, Aizat berkata, itu bukan keutamaan kerana apa yang lebih penting baginya adalah peluang untuk terus melebarkan sayap sebagai anak seni.

“Terus terang, saya ingin dikenali kerana bakat dan hasil lakonan yang meninggalkan kesan mendalam di hati penonton.

“Populariti pula bonus kepada pelakon. Saya sedar diri ini tidak popular dan perlu bekerja lebih keras untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini,” katanya.

Impi watak hitam

Sepanjang kembara seninya, Aizat sering ditawarkan watak protagonis dalam drama dan filem. Hakikatnya jejaka ini mendambakan watak hitam yang mencabar kemampuannya.

“Jika saya dibenci penonton gara-gara watak yang dilakonkan, itu bermakna persembahan kita menjadi. Saya juga tidak kisah jika pengarah minta saya bawa watak hodoh dalam drama dan filem,” katanya.

Mengulas pembabitannya dalam filem komedi, Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi, Aizat suka dengan watak Hisham, pemuda kampung yang berbeza daripada yang pernah dilakonkannya sebelum ini.

Menerusi karya garapan Erya Rahman yang ditayangkan sejak 17 Mac lalu itu, Aizat bergandingan dengan Hafreez Adam dan Atikah Suhaime selaku teraju utama.

“Saya yang pilih watak Hisham kerana ingin cabar kemampuan diri.

“Saya juga tidak kekok bergandingan dengan Atikah kerana kami pernah bekerjasama dalam drama 25 episod, Ella Fitri yang bersiaran di saluran Hip TV sebelum ini,” katanya.

Antara lakonannya sebelum ini ialah drama bersiri Qalesya untuk siaran Astro dan drama Melarik Awan bergandingan dengan Dayana Roza untuk siaran TV3.

Manakala, dalam drma terbaru berjudul Hantu Punya Bos! untuk TV3 Aizat bergandingan dengan Syukri Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 12:14 PM