STEPHEN (empat dari kiri) bersama pasukannya ketika sesi latihan di Stadium Jalan Duta.
STEPHEN (empat dari kiri) bersama pasukannya ketika sesi latihan di Stadium Jalan Duta.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Debaran siapa 18 pemain terakhir yang menggalas tugas untuk Piala Sultan Azlan Shah bakal terjawab esok dengan ketua jurulatih Stephen Van Huizen memberi bayangan akan menyenaraikan beberapa muka baru.

Tegas pengendali berusia 57 tahun itu, pelbagai kriteria diambil kira sebelum memilih senarai 18 pemain terbaik termasuk prestasi mereka ketika jelajah Oceania, baru-baru ini.

“Pertamanya, pemilihan setiap pemain adalah berdasarkan kepada prestasi mereka terutama ketika perlawanan persahabatan di New Zealand dan Australia.

“Saya juga akan memilih pemain yang cergas sepenuhnya. Ketika ini S Kumar dan Izad Hakimi (Jamaluddin) saja yang mengalami kecederaan.

“Oleh kerana pasukan ini sedang dalam proses pembentukan semula, akan ada pemain muda yang akan diberi peluang bermain nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama skuad negara semalam selepas pulang dari jelajah Oceania.

Mengulas lanjut mengenai siri perlawanan persahabatan sepanjang berada di New Zealand dan Australia, Stephen berkata berpuas hati dengan apa yang dipamerkan pemainnya dalam 10 perlawanan itu.

“Yang pasti setiap pemain dapat merasai aksi perlawanan berkualiti tinggi.

“Untuk persiapan terakhir sebelum bermulanya perlawanan pertama menentang New Zealand pada Selasa depan, kami akan mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan skuad pembangunan serta Australia di Ipoh,” katanya.

Selain Malaysia dan New Zealand, lima lagi pasukan yang akan beraksi di kejohanan yang memasuki edisi ke-25 itu adalah Australia, India, Jepun, Kanada dan Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 10:07 AM