ANTARA warga asing yang ditahan dalam Ops ID di Kampung Acheh, pagi tadi. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Enam warga Filipina ditahan kerana memiliki kad pengenalan palsu dan menggunakan kad pengenalan milik orang lain dalam Ops ID yang dijalankan penguatkuasa di kawasan perindustrian Kampung Acheh, di sini, pagi ini.

Operasi bersepadu itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) Putrajaya, JPN negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri bermula 6 pagi tadi.

Operasi dijalankan hasil risikan dan aduan awam yang mendakwa kebanjiran warga asing di daerah ini semakin meningkat dan menyebabkan kehilangan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat JPN Putrajaya, Mohamad Yusri Hashim berkata, seramai 19 warga asing ditahan membabitkan pelbagai negara berusia antara 23 dan 40-an tahun.

"Kita menahan enam warga asing yang mendakwa warga Filipina membabitkan tiga daripadanya memiliki kad pengenalan asli yang tidak didaftarkan atas namanya manakala tiga lagi memiliki tiga kad pengenalan palsu.

"JIM berjaya menahan 13 warga asing membabitkan kesalahan di bawah 6(1)(c) Akta Imigresen," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 10:22 AM