KEADAAN Deden yang dirantai pada pokok oleh bapanya sendiri.
KEADAAN Deden yang dirantai pada pokok oleh bapanya sendiri.

Serang (Indonesia): Seorang pesawah, Usman merantai anak lelakinya yang berusia 19 tahun pada sebatang pokok kerana bimbang remaja yang mengalami masalah mental itu merayau dan mencuri ternakan jirannya.

Remaja itu antara 20,000 pesakit mental yang dirantai keluarga mereka, satu amalan yang mahu dihapuskan oleh pentadbiran Presiden Joko Widodo (Jokowi) menjelang akhir 2017.

“Dia mencuri kerbau dan baju,” kata Usman ketika duduk di sebelah anaknya, Deden.

Usman merantai Deden pada sebatang pokok berhampiran pondok kecil di tepi rumahnya sejak lebih sebulan lalu.

“Kami sering berasa malu, jadi saya merantainya bagi mengelak dia mengganggu jiran,” katanya.

Usman membenarkan doktor memeriksa kesihatan Deden dua minggu sekali tetapi dia enggan membebaskan anaknya sehingga remaja itu benar-benar stabil.

Dalam satu program yang dilancarkan tahun ini, kerajaan menghantar pegawai ke kawasan terpencil bagi membebaskan pesakit mental yang dirantai dan memastikan mereka menerima rawatan diperlukan.

Menteri hal ehwal sosial, Khofifah Indar Parawansa berkata, pihaknya dan agensi kebajikan mengesan banyak kes seperti itu di seluruh negara.

“Kami bertekad untuk menghapuskan amalan merantai pesakit mental ini menjelang akhir 2017,” jelasnya.

Indonesia sudah lama mengharamkan amalan merantai pesakit mental tetapi ia terus berlaku terutama di kawasan miskin dan terpencil. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 11:23 AM