ADA masanya Elma turut membawa tetamunya pulang ke kampung malah meminjamkan baju kurung buat mereka.
ADA masanya Elma turut membawa tetamunya pulang ke kampung malah meminjamkan baju kurung buat mereka.
SEBELUM berpindah ke Rawang, rumah di Cheras menjadi lokasi Elma menawarkan ‘couch’ selama tujuh tahun kepada pelancong.
SEBELUM berpindah ke Rawang, rumah di Cheras menjadi lokasi Elma menawarkan ‘couch’ selama tujuh tahun kepada pelancong.
ELMA bersama tetamunya dari Indonesia (kiri) dan Perancis.
ELMA bersama tetamunya dari Indonesia (kiri) dan Perancis.
ELMA bersama tetamunya dari Perancis di perkarangan rumahnya di Rawang.
ELMA bersama tetamunya dari Perancis di perkarangan rumahnya di Rawang.
ANTARA magnet peti sejuk yang diberikan tetamu Elma sebagai cenderahati.
ANTARA magnet peti sejuk yang diberikan tetamu Elma sebagai cenderahati.
BERSAMA tetamunya dari Ukraine.
BERSAMA tetamunya dari Ukraine.
Rosyahaida Abdullah


Penginapan aspek utama yang perlu diambil kira tatkala mengatur perbelanjaan untuk percutian, baik di dalam mahupun luar negara.

Memikirkan sewa hotel yang biasanya mencecah ratusan ringgit, hasrat melancong kadangkala terpaksa ditunda bagi memastikan belanja untuk percutian benar-benar cukup.

Bagaimanapun, konsep penginapan seperti Couchsurfing (CS) yang diperkenalkan kira-kira sedekad lalu memberi pilihan buat mereka yang mahu berjimat.

Ia berkonsep menumpang inap sebagai tetamu di rumah orang di merata tempat seluruh dunia yang biasanya tidak mengenakan sebarang bayaran.

Caranya mudah. Cuma daftar sebagai ahli Couchsurfing di laman web dan hubungi mana-mana ahli yang menyediakan ‘couch’ (tempat tidur) secara percuma di kediaman mereka di lokasi yang bakal kita kunjungi.

Realitinya, biarpun ia tidak mendatangkan pulangan dalam bentuk wang kepada tuan rumah, ada individu di negara ini masih terus menawarkan ruang kediamannya buat pelancong selama 10 tahun tanpa henti.

Pesara awam, Elma Zainuddin, 63, berkata, manfaat CS bukan sekadar kepada pelancong yang ingin berjimat, malah lebih daripada itu.

Ini termasuk menimba ilmu global yang sukar ditemui di dalam buku, selain mempromosi Malaysia secara tidak langsung.

Atas dasar itulah, nenek kepada enam cucu ini terus mengizinkan pelancong menginap di rumahnya.

Daripada rumah lama di Cheras, Kuala Lumpur yang menjadi lokasi pertamanya menawarkan ‘couch’ sehinggalah lokasi terkini di Rawang, Selangor, hampir 700 tetamu dari seluruh dunia pernah menginap di kediaman Elma.

“Ramai juga ahli CS (di Malaysia) sudah tidak lagi aktif menawarkan ‘couch’ mereka, tapi saya masih teruskan kerana ia sudah sebati dengan jiwa dan rutin saya kerana ia menjadi medan ilmu yang sangat bermakna.

“Saya masih ingat, seorang tetamu dari Brazil terkejut apabila mengetahui saya beragama Islam. Katanya, tiada perkara baik mengenai Islam dilaporkan media di negaranya menyebabkan dia sangsi dengan layanan saya.

“Jika tidak menjadi hos seperti ini, mana mungkin saya dapat bercerita lanjut mengenai perihal sedemikian dengan pelancong. Inilah antara kelebihan berkongsi sesuatu dengan mereka,” katanya.

Menceritakan bagaimana dia ‘terjebak’ dengan CS, Elma berkata, ia bermula selepas menantunya pulang daripada percutian di Eropah yang turut menggunakan kaedah CS.

Katanya, ketika itu dia masih tidak dapat menggambarkan bagaimana sistem CS dilaksanakan hinggalah pada suatu hari menantunya membawa pulang seorang tetamu dari luar negara ke rumah.

“Kali pertama bertemu tetamu berkenaan, banyak perkara yang kami kongsikan yang memberi maklumat berguna dan dari situ saya mula tertarik untuk melakukannya.

“Selepas itu, saya sendiri beberapa kali menginap di rumah hos CS sewaktu melancong ke luar negara. Namun, kini dengan usia saya, saya lebih memilih menginap di hotel tapi masih terus membuka pintu buat pelancong selagi terdaya,” katanya.

Menurut Elma, pelancong paling ramai pernah menginap di rumahnya dalam sehari ialah seramai lapan orang dengan empat tidur di ruang tamu manakala empat lagi tidur di khemah yang dipasang di luar rumah.

Elma juga mengakui pernah membenarkan seorang pelancong dari Perancis menginap di rumahnya selama tiga minggu.

“Dia (pelancong) kehilangan pasport. Jadi dia perlu tunggu keluarganya di Perancis hantar segala dokumen berkaitan untuk urusan membuat pasport baru. Saya tidak kisah kerana dia juga pelancong yang tiada kerenah,” katanya.

Baginya, tiada masalah jika ada pelancong asing mahu menginap di rumahnya sepanjang perayaan Aidilfitri, malah mereka turut dibawa bersama pulang ke kampung.

“Kadangkala, saya pinjamkan baju kurung dan baju Melayu supaya mereka dapat merasai budaya kita. Melihat mereka gembira, menjadikan saya berganda-ganda gembira,” katanya.

Dalam pada itu, Elma akui tidak semua pengalaman CS yang dilaluinya adalah manis. Pahit mesti ada, namun tidak seteruk dibayangkan.

“Bagaimanapun, kes seperti kecurian tak pernah berlaku sepanjang satu dekad saya CS dan tentu­nya saya harap ia dijauhkan sama sekali.

“Masalah yang timbul biasanya membabitkan kelakuan. Ada yang hilang begitu saja tanpa sepatah ucapan terima kasih. Ada pula yang keluar berjalan dengan pakaian ditinggalkan bersepah di ruang tamu.

“Ini antara cabarannya. Namun, jika hanya melihat keburukan, kita mudah lupa kebaikannya. Saya sentiasa melihat CS sebagai landasan untuk saya belajar sesuatu daripada pelancong sama ada baik atau buruk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 12:04 PM