TERTUDUH dibawa oleh anggota SPRM di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Yazit Razali
Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 32 pertuduhan termasuk menyalahguna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai lebih RM38 juta, empat tahun lalu.

Otman Arsahd, 57, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Tertuduh didakwa dengan 17 pertuduhan membuat tuntutan palsu manakala 15 pertuduhan menyalahguna kedudukan.

Dakwaan terhadapnya dibuat masing-masing mengikut Seksyen 18 (a) dan 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil dekat sini antara 2 Mei 2012 dan 18 November 2015.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000, cagaran geran tanah lebih satu hektar dengan dua penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 4:05 PM