MAMAT (tengah) bertopi bersama Kumpulan Dendang Anak cawangan Perak.
Rosman Shamsudin


Lawatan turun padang Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Abdul Rahman Dahlan ke Pusat Seni (SARANG) yang diusahakan penerbit dan pengarah filem tanah air, Mamat Khalid memberi nafas baru kepada golongan belia di Tanjung Malim.

SARANG menjadi komponen dalam Projek 1Malaysia Youth City (1MYC) atau dikenali Bandar Belia 1Malaysia dengan Tanjung Malim menjadi kawasan rintis dalam usaha memberi peluang kepada golongan itu terutama pencinta seni mengembangkan bakat cabang seni.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Perak Datuk Shahrul Zaman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Rusnah Kasim serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Datuk Mohd Khusairi Abd Talib.

Abdul Rahman sempat mengecat mural pada dinding Bangunan Arked MARA serta menyanyikan lagu Gemuruh dendangan Faizal Tahir sambil diiringi Kumpulan Buskers yang berpusat di SARANG hingga suasana gamat seketika.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan lagu etnik kreatif Kumpulan Dendang Anak cawangan Perak yang berpakaian lengkap seperti pahlawan Melayu.

Abdul Rahman berbangga dengan usaha Mamat menjadikan SARANG sebagai pusat seni dengan dekorasi menarik bagi menambat hati golongan belia.

Beliau juga dibawa ke galeri untuk menonton tayangan video rakaman Mamat mengenai program seni di SARANG yang memberi peluang kepada belia membabitkan diri dalam cabang seni terutama program membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ketika melawat galeri seni, Abdul Rahman kagum melihat kegigihan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Bukhairo Ibrahim, 20, menghasilkan lukisan menarik walaupun Orang Kelainan Upaya (OKU).

Mamat bersyukur dan berbangga SARANG yang diusahakannya sejak Oktober tahun lalu menjadi program rintis pelaksanaan 1MYC yang memberi manfaat kepada golongan belia bergiat dalam cabang seni.

Katanya, kejayaan mendominasikan SARANG sebagai pusat seni memberi semangat kepadanya membuka sebuah lagi pusat seni seumpama itu bagi memastikan lebih ramai belia menunjukkan bakat mereka.

“Pelbagai program cabang seni akan dijalankan di SARANG dan saya berharap masyarakat dan belia di daerah Muallim mengambil kesempatan sama ada sebagai audien atau peserta supaya hasrat Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) ingin melihat SARANG sebagai pusat seni tercapai,” katanya .

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 5:01 AM