SATHIS menunjukkan antara kacang serta kerepek yang dijual.
PEKERJA DNS Kacang Puteh menggoreng muruku di Buntong, Ipoh.
PELANGGAN membeli kacang serta kerepek.
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Sebut sahaja kacang putih, pasti terbayang kudapan yang diminati semua lapisan masyarakat. Namun, tidak ramai yang tahu kacang putih juga adalah nama sebuah kampung di Perak.

Kampung Kacang Putih yang terletak di Buntong di Ipoh, menjadi tumpuan pengunjung terutama pada musim perayaan bagi membeli kudapan itu.

Ia juga menjadi antara destinasi terkenal pengunjung bukan sahaja dari Perak, malah dari negeri lain yang ingin merasai keenakan kacang serta keropok dijual beberapa pengusaha.

Jika disingkap kembali, sudah pasti generasi lama tidak lupa bagaimana penjual kacang putih menggulung kertas menjadi bentuk kon dan mengisinya dengan kekacang atau snek rangup lain.

Kira-kira 40 tahun kemudian, beberapa penduduk mula memproses kudapan itu secara kecil-kecilan sebelum perniagaan itu berkembang. Kini sebahagian daripada pengusaha terbabit membina kilang untuk memproses kudapan itu bagi memenuhi permintaan yang makin meningkat.

Sekarang, ada lebih 15 pengusaha komersial muruku dan kekacang di Kampung Kacang Putih membekalkan makanan ringan itu ke seluruh negara.

Apa yang menarik, semua pengusaha mempunyai ikatan persaudaraan dan faktor itu menyebabkan tidak timbul pergaduhan kerana berebut pelanggan.

Pengurus DNS Kacang Putih S Sathis Kumar, 27, berkata, perniagaan itu dimulakan datuknya sebelum diambil alih bapanya yang kemudian menyerahkan perniagaan itu kepadanya untuk diuruskan.

Katanya, dia tiada masalah menguruskan perniagaan itu kerana sentiasa belajar dengan saudaranya di kedai bersebelahan untuk menguruskan perniagaan.

Menurutnya, semua kacang dan kerepek yang dijual di kedainya sentiasa mendapat sambutan pelanggan terutama pada musim perayaan.

“Setiap kali musim perayaan, jualan sangat laris dan kadangkala permintaan lebih banyak daripada pengeluaran kerana kebanyakan pelanggan sudah tahu kampung ini kawasan utama menjual kacang putih.

“Semua kacang dan kerepek dihasilkan di kilang di sini kecuali bahan mentah seperti kacang dan tepung diimport dari India,” katanya ketika ditemui di kedainya.

Sathis berkata, kira-kira 120 jenis kacang dan kerepek dijual pengusaha di kampung itu. Sebanyak 40 jenis mendapat perhatian utama pelanggan seperti kerepek ubi pedas, omapodi, muruku bintang, muruku kari, kacang tanah kari, kacang telur dan kacang susu.

Menurutnya, selain untuk pasaran tempatan, kacang serta kerepek itu turut ­dieksport ke luar negara seperti Australia, China dan Brunei.

“Kira-kira 30 jenis kacang serta kerepek dieksport, namun ia bergantung kepada permintaan,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Nor Halida Nordin, 28, berkata, dia bukan hanya datang untuk membeli kacang serta kerepek pada musim perayaan, malah berkunjung ke kawasan Buntong setiap kali ke Perak.

Dia yang berasal dari Nibong Tebal, Seberang Perai berkata, keenakan serta kerangupan kacang dan kerepek dijual di kampung itu menjadikannya terkenal dan sekali membelinya sudah pasti akan datang lagi.

“Pada setiap Aidilfitri, saya dan keluarga akan ke sini untuk membeli kacang putih kerana kebetulan ada saudara tinggal di sini. Memang kami akan borong kacang serta kerepek di sini untuk juadah kudapan pada hari raya.

“Bukan setakat kerepek dan kacang, malah kuih raya juga dijual di sini pada musim perayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 5:01 AM