SESI latihan yang dijalankan.
Ridzuan Abdul Rahman


Setiap guru ada cara tersendiri mendidik pelajar menghayati ilmu yang disampaikan.

Pendekatan yang sama turut dipraktikkan Sir Izman bagi menggalakkan pelajarnya mendalami dan mencintai seni persembahan teater.

Guru Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri, Rawang ini meng­gabungkan pelajarnya dari tahun tiga, empat serta pelajar tingkatan satu dan empat untuk terbabit dalam pementasan teater Imam yang akan berlangsung di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Wilayah Persekutuan (JKKN WPKL) pada 8 hingga 10 April ini.

Sir Izman berkata, dia menggunakan muzik bagi menarik pelajarnya menghayati watak.

“Teater ini menggabungkan pelajar sekolah rendah, menengah dan dewasa. Bukan mudah mengarah pelakon yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

“Walaupun mencabar, berkat kesabaran semua saya dapat juga menggarap naskhah ini.

“Ini adalah karya ke 10 arahan saya sejak 2012. Ketika mengajar, saya tercari-cari kaedah paling berkesan dan mendapati muzik adalah yang terbaik.

“Majoriti pelajar saya sukakan muzik dan daripada situ saya bangunkan penghayatan mereka” katanya.

Menurutnya lagi, menerusi muzik juga dia cuba menerapkan unsur penceritaan dalam diri pelajar.

“Saya kenal pasti karakter pelajar kerana ia dapat menzahirkan emosi luar biasa. Latihan dibuat sejak Januari lalu sehingga sekarang dan setiap hari kami belajar perkara baru.

“Sebenarnya pementasan teater Imam adalah aktiviti tahunan Kelab Teater SK Bandar Tasik Puteri. Biasanya kelab ini mengadakan tiga pementasan teater dalam setahun.

“Hampir keseluruhan skrip, muzik dan arahan saya buat sendiri. Karya ini sesuai ditonton seisi keluarga,” katanya.

Imam berkisarkan konflik sebuah perkampungan nelayan yang kehilangan lima penduduk dikhuatiri dipukul ombak besar.

Milah, Jannah dan Rosnah tidak keruan memikirkan nasib suami mereka. Bimbang hilang tempat bergantung, mereka mengharapkan Imam Said melakukan sesuatu.

Imam Said berusaha sedaya upaya membuktikan kepada anaknya, Aisyah bahawa dia mampu melakukannya.

Dengan bantuan tiga anak kecil yang muncul secara tiba-tiba, Imam Said memulakan pengembaraan di luar jangkaannya.

Tiket menonton persembahan ini berharga RM10 dan boleh dibeli di kaunter JKKN WPKL pada hari pementasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 5:48 AM