Keadaan kereta dinaiki mangsa yang maut. FOTO ihsan pembaca
Shamsul Munir Safini


Nibong Tebal: Dua lelaki maut dalam kemalangan kereta dan motosikal di Jalan Valdor,Tasek, Sungai Bakap, di sini, 4.30 petang semalam.

Dalam kejadian itu mangsa Mat Isa Mohmad Rashid,33, yang memandu kereta dan rakannya Ibadillah Zikri Yunus,29, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Shafee Abdul Samad berkata, kereta dinaiki mangsa dari arah Sungai Bakap ke Tasek Junjong.

Katanya,sebaik tiba di Jalan Valdor, Tasek, kereta dinaiki mereka hilang kawalan kerana keadaan jalan curam sebelum melanggar motosikal ditunggang Mohd Syarrosnizam Shaari,25, yang datang dari arah yang sama.

"Akibat perlanggaran, kereta mangsa berpusing beberapa kali dan terbabas ke dalam longkang menyebabkan Mat Isa dan Ibadillah Zikri tercampak keluar.

"Penunggang motosikal berkenaan melambung dan jatuh di atas jalan serta cedera di kaki,tangan dan kepala," katanya ketika dihubungi.

Shafee berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Bakap.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 8:43 AM