YOUNG kagum kepercayaan diberi van Gaal terhadap semua pemain.
YOUNG kagum kepercayaan diberi van Gaal terhadap semua pemain.
AFP

Manchester: Pemain Manchester United Ashley Young percaya kelab itu sudah boleh memikirkan untuk menduduki kedudukan lebih baik berbanding sedang mereka duduki sekarang selepas pengurus Louis van Gaal menyuntik pelbagai elemen positif kepada anak buahnya.

Buat kali pertama musim ini, United sedang menduduki antara slot untuk ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Kemenangan ke atas Arsenal Sabtu lalu bermakna United hanya tewas sekali sepanjang tujuh aksi terakhir mereka selepas kelab berkenaan mengharungi permulaan terburuk sejak 1986.

United muncul pasukan pilihan untuk menang ketika bertemu Hull City di Old Trafford malam ini kerana pelawat sedang menduduki satu tangga di atas zon penyingkiran.

Bagi Van Gaal, sasaran jangka pendeknya ialah untuk memastikan pasukannya kekal di kelompok empat teratas, sekali gus memastikan anak buahnya kembali ke saingan Liga Juara-Juara.

Tetapi, Young berkata, tiada sebab mengapa United tidak boleh menyasarkan kedudukan lebih tinggi walaupun pendahulu Chelsea sedang berada 13 mata di depan.

“Pengurus pernah berkata bahawa kami mahu terus berada dalam kelompok empat teratas,” kata Young.

“Kami juga mahu memenangi gelaran liga musim ini,” tambah pemain sayap England itu.

“Saya rasa beliau (Van Gaal) mempunyai aura untuk muncul juara. Kami semua dapat merasakan semangatnya setiap kali berlatih dan bermain. Beliau percayakan semua orang. Beliau memberikan kepercayaan kepada kami dan kerana kejujurannya, kami semua memasang hasrat untuk bermain bersungguh-sungguh

“Pengurus mahu mencapai banyak perkara. Beliau mahu membawa United kembali memenangi gelaran dan begitu juga kami. Kami sudah kembali percaya kepada diri sendiri dan itulah yang sedang berlaku sekarang.”

Pertahanan United Jonny Evans akan kembali diturunkan menentang Hull selepas tidak bermain sejak September akibat kecederaan kaki sekali gus melegakan Van Gaal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:04 AM