LUKAKU (tengah) jaring gol pertama Everton ketika bertemu Wolfsburg.

Paris: Dua kelab Liga Perdana Everton dan Tottenham Hotspur memenangi perlawanan masing-masing untuk melangkah ke saingan kalah mati Liga Europa awal pagi semalam dengan Celtic turut mara walaupun tewas kepada Salzburg di laman sendiri.

Toffees memastikan kedudukan di kelompok 32 pasukan terakhir sebagai juara Kumpulan H dengan kemenangan membanggakan 2-0 mengatasi kelab Bundesliga VfL Wolfsburg.

Tottenham turut melepasi cabaran Kumpulan C hasil kemenangan 1-0 di laman sendiri mengatasi pendahulu liga Serbia, Partizan Belgrade dan kekalahan 1-3 kepada Salzburg di Glasgow tidak mampu menghalang kemaraan Celtic untuk mara ketika saingan masih berbaki satu perlawanan.

Everton mengetahui mereka berjaya melangkah ke saingan 32 pasukan terakhir ketika pertengahan perlawanan selepas berita mengenai keputusan seri 1-1 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan H antara FC Krasnodar dan Lille di Russia.

Jaringan dua pemain Belgium, Lukaku dan Kevin Mirallas memastikan kemenangan bergaya untuk Blues ketika mereka melebarkan rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan dan memastikan kedudukan selaku juara kumpulan.

“Ia adalah kemenangan yang sempurna di tempat lawan. Serangan balas kami berkesan dan saya fikir kami amat hebat,” kata pengurus Everton Roberto Martinez.

“Pujian besar turut diberikan kepada pertahanan dan penjaga gol kerana tidak dibolosi, Ia adalah pencapaian yang hebat.”

Keputusan itu bermakna Wolfsburg bakal tersisih jika mereka tewas di Lille dalam aksi terakhir peringkat kumpulan dalam tempoh dua minggu lagi.

Tottenham melakarkan tiga kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan C, menewaskan Partizan di White Hart Lane dalam perlawanan yang tertangguh sekitar 10 minit pada babak pertama susulan tindakan penonton yang menceroboh padang sebanyak tiga kali.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:04 AM