Salman Hamat


Alor Gajah: Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Datuk Mohd Khalid Nasir bersama 100 kakitangan dan pelajar daripada dua sekolah tahfiz mengadakan solat hajat memohon hujan di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah hari ini.

Program dimulakan dengan bacaan yasin diikuti solat hajat yang diimamkan Ustaz Suhairi Yunos dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Mohd Khalid berkata, solat hajat itu adalah program tahunan dianjurkan pihaknya.

"Solat hajat diadakan bagi memohon hujan kerana Empangan Durian Tunggal sudah tidak menerima hujan selama lebih dari 30 hari.

"Air empangan ketika ini berada pada paras amaran iaitu pada tahap 60 peratus, namun belum dianggap kritikal.

"Bagi Empangan Asahan paras air kini pada tahap 90 peratus, manakala Empangan Jus pula 75 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 9:50 AM
Kakitangan SAMB dan pelajar sekolah tahfiz menunaikan solat hajat di Empangan Durian Tunggal. FOTO Salman Hamat