SUZANA menunjukkan keadaan rumah mereka yang bersebelahan dengan reban ayam di Kampung Sungai Pinang, Balik Pulau.

Balik Pulau: Sebak rasanya apabila melihat pasangan suami isteri bersama dua anak kecil berusia lima bulan dan tiga tahun tinggal di satu ruangan bersambung dengan reban ayam di dalam kebun di Kampung Sungai Pinang di sini, sejak lima bulan lalu.

Asalnya, ia hanya reban ayam sebelum pasangan Suzana Mansor, 35, dan suaminya, Othman Darus, 45, membaiki reban itu dan membina satu ruangan lain bagi membolehkan mereka empat beranak berteduh di situ selepas diusir dari rumah sewa.

Apabila menjengah ke dalam ‘kediaman’ itu, dapat dilihat papan diletakkan di satu ruang kecil di sebelah reban ayam untuk dijadikan tempat tidur manakala tempat memasak hanya berlantaikan tanah.

Lebih perit lagi, tiada bekalan air dan elektrik disalurkan ke kediaman itu sambil pasangan berkenaan merelakan anak sulung yang berusia lapan tahun diserahkan untuk dipelihara adik Suzana.

Suzana berkata, sejak diusir dari rumah sewa, dia dan suaminya tidak mempunyai pilihan berteduh dan hanya ada reban ayam di kebun milik ibunya, Salmiah Khalid, 60, yang sesuai dijadikan tempat tinggal mereka.

“Suami membaiki reban ayam dan dijadikan tempat kami sekeluarga berteduh, Kami mengambil air dari rumah ibu yang terletak 350 meter dari sini untuk kegunaan harian manakala pada sebelah malam pula kami menggunakan lilin dan lampu minyak tanah.

“Pernah beberapa kali kami terjatuh dari motosikal semasa mengambil mengangkut air, tetapi tiada paip boleh disambung untuk menyalurkan air bersih ke rumah kami,” katanya.

Suzana berkata, suaminya bekerja sebagai pemotong rumput dan tidak mempunyai pendapatan tetap, sebaliknya hanya bergantung kepada kerja yang sesekali ada saja.

“Sekiranya ada orang kampung atau mana-mana pihak memerlukan khidmat untuk memotong rumput, suami saya ada upah pada hari itu.

“Ada kalanya, suami dapat RM15 untuk upah memotong rumput, tetapi jika tiada kerja maknanya tiada pendapatan.

“Pernah kami sekeluarga berpuasa beberapa hari kerana tiada duit untuk membeli keperluan asas seperti beras dan gula. Malah, kerap juga saya meminjam wang daripada ibu untuk membeli susu dan lampin anak,” katanya.

Suzana berkata, kedudukan kediamannya di tengah kebun menyebabkan keluarganya turut terdedah kepada ancaman binatang liar seperti monyet, ular dan sebagainya.

“Bagaimanapun, setakat ini belum ada kejadian ahli keluarga saya diserang binatang buas,” katanya yang sudah membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu meringankan beban hidup keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 10:11 AM